suria

Ubah sikap toleransi kepada menerima perbezaan kaum lain - Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu seluruh rakyat Malaysia mengubah sikap toleransi terhadap perbezaan di antara kaum di negara ini kepada sikap menerima kerana ia dapat memberikan kekuatan kepada negara.

Beliau berkata peralihan paradigma itu perlu bagi memastikan tidak ada mana-mana kaum di negara ini yang merasa hanya perlu bertoleransi dengan masyarakat daripada kaum lain.

Ini kerana, katanya, mereka sebaliknya perlu mempunyai sikap bersedia menerima segala perbezaan kaum lain yang membentuk masyarakat majmuk di Malaysia.

"Kalau toleransi sahaja, mungkin ada (sesetengah pihak) yang tidak suka, tetapi kalau sikap itu diubah kepada sikap menerima maka konsep masyarakat majmuk akan dilihat sebagai satu 'multi-racial' yang bukan sahaja memberi keunikan tetapi juga kekuatan kepada negara kita," katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Cemerlang Pelajar SPM 2008 di sini, malam tadi.

Najib berkata konsep itu yang sejajar dengan gagasan 1Malaysia yang diutarakan, jika dapat dihayati sepenuhnya juga mampu membawa negara ke tahap kejayaan yang lebih tinggi.

Menjurus ucapannya kepada pencapaian pelajar daripada kaum India, Najib berharap masyarakat India di negara ini dapat berusaha lebih gigih untuk melonjakkan pencapaian anakanak mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

"Saya mahu melihat anakanak kaum India di negara ini mencapai keputusan yang lebih cemerlang di masamasa akan datang," katanya.

Beliau berkata kerajaan telah pun meluluskan pelbagai peruntukan tambahan demi pembangunan pendidikan kaum India termasuk menambah jumlah sekolah Tamil, sekaligus menggambarkan komitmen dan mesej kerajaan untuk membangunkan Malaysia berasaskan prinsip dan semangat 1Malaysia.

Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2008 anjuran akhbar Malaysia Nanban julung kali diadakan bagi meraikan pelajarpelajar kaum India yang cemerlang dalam SPM tahun lepas.

Tahun ini, 172 pelajar cemerlang diraikan di majlis berkenaan selain berpeluang beramah-mesra bersama Perdana Menteri. Perdana Menteri berkata bagi kerajaan pula, apa yang penting adalah untuk mengenal pasti keperluan sebenar setiap kumpulan etnik dalam negara dan membentuk dasa-dasar kerajaan berdasarkan keperluan setiap komuniti.

Katanya keperluan semua kaum perlu diambil kira kerana hanya dengan cara itu kerajaan akan dilihat sebagai adil dan saksama kepada semua kaum.

Dalam pada itu, Najib turut mengingatkan seluruh masyarakat mengenai pentingnya pendidikan kerana melaluinya akan dapat menjamin perubahan besar bukan sahaja kepada diri individu mahupun keluarga mereka, tetapi juga kepada negara.

Katanya kerajaan telah meletakkan pembangunan modal insan sebagai strategi utama untuk mencapai hala tuju negara iaitu menjamin masyarakat mempunyai pendapatan yang tinggi, dan sasaran itu hanya boleh dicapai melalui penguasaan bidang pendidikan dan ilmu.

"Tiada apa yang lebih mustahak melainkan membangunkan masyarakat yang betul dengan kemahiran yang betul, cara pemikiran yang betul... mereka yang akan menentukan sama ada kita dapat mencapai matlamat kita," katanya. BERNAMA

Artikel Lain