suria

Kegiatan Ah Long kini berunsur jenayah: Hishamuddin

PUTRAJAYA: Kegiatan Ah Long akan dibanteras sehabis-habisnya kerana ia bukan lagi hanya berkisar kepada aktiviti peminjaman wang tetapi berkait dengan jenayah seperti pengedaran dadah, pelacuran dan samseng, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Sambil menyifatkan isu itu sudah berada pada tahap yang amat serius dan membimbangkan, beliau berkata polis akan terus bertindak tegas bagi menyekat kegiatan Ah Long daripada terus berleluasa.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata polis telah mengenal pasti dan sedang memantau kegiatan beberapa kumpulan ah long khususnya di kawasan Lembah Klang, Selangor, Johor dan Pulau Pinang yang didapati bertindak kejam dan ganas terhadap peminjam.

"Ini termasuk kegiatan ahliahli kumpulan Kristal 9Gem Enterprise (K9) yang disyaki terlibat dengan kes tiga peminjam wang yang dikurung dan dirantai seperti binatang di sebuah rumah kedai di Serdang, minggu lalu.

"Saki baki kumpulan ini sedang diburu polis," katanya. Hishammuddin berkata beliau telah mengarahkan timbalannya Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Mahmood Adam menghidupkan semula jawatankuasa yang telah wujud sebelum ini bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Penerangan bagi menangani isu ah long secara menyeluruh.

Katanya pihak polis akan memantau kegiatan pemberi pinjaman wang berlesen yang berdaftar di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Usaha ini penting bagi memastikan pemberi pinjaman wang berlesen ini tidak terlibat dengan amalan atau corak perniagaan ala ah long," katanya.

Hishammuddin berkata jika didapati terlibat dengan kegiatan seperti itu, kementerian akan mengambil tindakan tegas termasuk mendapatkan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menggantung atau membatalkan lesen pemberi pinjaman wang berlesen itu. BERNAMA

Artikel Lain