suria

Keluarga dakwa gambar anak pesakit kulit diguna sebagai iklan

BALING: Ibu bapa kepada kanak-kanak berpenyakit kulit di Kampung Siput Baling, Irshad Azizan, hari ini kesal dengan sebuah syarikat pengeluar jus minuman yang didakwa menggunakan gambar anak mereka itu untuk tujuan komersil.

Azizan Yusof, 53, berkata beliau dan isterinya Salmiah Abdul Rahman, 40, terkejut apabila mendapati gambar anak mereka yang berumur dua tahun disiarkan sebagai testimoni keberkesanan produk yang dikeluarkan dalam iklan sebuah syarikat jualan langsung yang mengedar sejenis serbuk minuman.

"Testimoni anak saya itu ternyata satu penipuan dan kami tidak pernah membeli serbuk minuman syarikat itu," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya, Irshad hanya mengambil ubat jenis krim yang dibekalkan oleh Hospital Sime Darby di Sungai Petani.

"Saya amat kecewa dengan mereka yang menggunakan anak saya untuk tujuan melariskan jualan produk syarikat mareka", katanya.

Azizan berkata penyakit kulit yang dihidapi Irshad sejak berusia enam bulan kini hampir sembuh sepenuhnya dan anaknya itu sudah boleh tidur malam dan mampu bermain dengan rakan sebaya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain