suria

IRIMM bantah cadangan benarkan Chin Peng pulang ke Malaysia

BUTTERWORTH: "Setiap kali pak cik dengar nama Chin Peng, kemarahan terus membuakbuak kerana dia lah ramai rakan seperjuangan pak cik mati dalam serang hendap sebelum kita merdeka dulu."

Penasihat Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) cawangan Pulau Pinang Zainal Mat Jani, 73 yang pernah berkhidmat dengan tentera British pada 1951 hingga 1958, meluahkan kemarahan itu terhadap Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) itu yang bertanggungjawab terhadap kematian rakan-rakannya dan kira-kira 3,000 tentera yang cedera sepanjang tempoh darurat di negara ini.

"Lebih 10 kawan pakcik yang dalam pasukan awal tentera British telah terbunuh dalam serang hendap di Johor dan Melaka angkara Chin Peng dan sampai hari ini pak cik memang tidak boleh dengar nama dia kerana marah dengan apa yang dia telah buat.

"Jadi kami memang membantah sekeras-kerasnya kepulangan Chin Peng ke Malaysia. Dia sangat kejam dan sepatutnya dihukum saja," katanya kepada pemberita selepas berkumpul bersama anggota IRIMM iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang dianggotai bekas polis dan tentera.

Hampir 50 anggota IRIMM berkumpul secara aman di hadapan masjid Teluk Air Tawar dekat sini bagi membantah cadangan untuk membenarkan Chin Peng pulang ke Malaysia.

Zainal turut memberi amaran kepada pihak tertentu yang berkepentingan politik supaya tidak 'bermain api' dengan bekas anggota tentera di negara ini.

Sambil membantah cadangan membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia atas apa jua alasan, beliau berkata Chin Peng adalah pengganas dan pembunuh dan dia tidak perlu lagi dibela atas prinsip kemanusiaan.

"Ingatan saya kepada mereka yang berhasrat membawa balik Chin Peng, janganlah cuba-cuba untuk membawa balik pengganas itu kerana akibatnya nanti amat buruk," katanya. BERNAMA

Artikel Lain