suria

Murugiah tidak boleh tanding jawatan Presiden PPP - Kayveas

KUALA LUMPUR: Bekas anggota Majlis Tertinggi Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk T. Murugiah diingatkan supaya melupakan hasratnya untuk bertanding jawatan Presiden kerana beliau sudah hilang kelayakan untuk berbuat demikian.

Presiden PPP Datuk M. Kayveas berkata sebagai individu yang telah lama aktif berpolitik, Murugiah sepatutnya faham yang beliau hilang kelayakan bertanding kerana telah dipecat oleh Majlis Tertinggi (MT) parti.

"Keputusan pemecatannya telah diputuskan oleh majoriti anggota MT. Jadi beliau bukan lagi anggota parti. Bagimana dia hendak bertanding?

"Bila dapat tahu dipecat, beliau ambil tindakan nak batalkan parti. Ini satu pengkhianatan... lepas tu umum pula nak bertanding menentang saya.

"Kalau dah dipecat bagaimana dia nak bertanding," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Menara Dato' Onn di sini, semalam.

Kayveas bagaimanapun berkata atas faktor undang-undang, Murugiah diberikan masa 14 hari bagi mengemukakan rayuan dan sekiranya gagal, keanggotaannya dalam PPP akan terbatal.

Katanya jika rayuan tidak dikemukakan dalam tempoh tersebut, beliau sebagai Presiden mempunyai kuasa untuk mengemukakan cadangan kepada Kabinet supaya jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang disandang Murugiah digantikan dengan calon baru.

"Saya nasihatkan beliau supaya tidak mengganggu PPP. Biarkan sahaja PPP... beliau bukan lagi anggota PPP," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain