suria

Penanti: Jentera akan digerakkan jika BN bertanding

BUKIT MERTAJAM: Umno akan menggerakkan jentera pilihan raya parti itu dari Pulau Pinang sahaja jika Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN), yang bermesyuarat esok, membuat keputusan untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti 31 Mei ini.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan itu bertujuan membolehkan jentera negeri mengatur dan mengendalikan sepenuhnya gerak kerja pilihan raya tanpa penglibatan jentera dari luar.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang berkata dengan mengurangkan jentera pilihan raya parti yang bertumpu ke kawasan itu, ia juga diharap tidak mengganggu ketenangan penduduk di situ.

"Kita tidak akan melibatkan jentera pilihan raya dari negeri lain sebab mahu memberi kepercayaan kepada jentera tempatan dan jika ada tokoh atau pemimpin negeri lain yang ingin menghulurkan bantuan, mereka hanya akan terlibat dalam ceramah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan masyarakat Siam di Kampung Telok Wang, di sini.

Katanya para pengundi akan merasa lebih selesa jika jentera pilihan raya itu dikendalikan oleh orang tempatan dan Umno tidak mahu mengganggu proses demokrasi dengan pelbagai kerenah.

"Sebaiknya, kita mengurangkan bilangan jentera yang diturunkan ke kawasan itu dan tidak akan ada jentera kawasan lain menjadi bapa angkat kepada kawasan peti undi di situ," katanya.

Ahmad Zahid juga mengingatkan pemimpin Umno di Bahagian Permatang Pauh supaya mengetepikan perbalahan sesama mereka dan sebaliknya menumpukan perhatian kepada rakyat di kawasan itu.

"Pemilihan parti sudah berlalu dan sekarang waktunya untuk mereka bekerja demi rakyat. Perang dah tamat, tetapi apabila berlaku pemilihan parti sekali lagi dalam masa tiga tahun akan datang, peranglah sampai luka dan patah tengkuk," katanya.

Apa pun, Umno Pulau Pinang sudah mengatur persiapan jentera pilihan rayanya termasuk calon yang bakal bertanding di Penanti jika BN membuat keputusan untuk bertanding.

Beliau memberi gambaran bahawa calon itu merupakan anak tempatan dan seorang profesional muda yang boleh diterima semua kaum di kawasan itu.

"Siapakah calon itu? Dia dekat di hati saya dan pastinya lebih muda usianya dari saya," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain