suria

Polis KL tahan 69 orang dalam Operasi Khas

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur menahan 69 orang termasuk pendatang asing tanpa izin kerana pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu khas di sekitar ibu negara semalam.

Dalam operasi mencegah jenayah itu, polis menjalankan pemeriksaan terhadap 1,789 orang dan mengeluarkan 109 saman bagi pelbagai kesalahan.

Menurut kenyataan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) yang dikeluarkan hari ini, sebanyak 24 kes samun dan ragut dilaporkan di sekitar daerah Dang Wangi, Brickfields, Cheras, Sentul dan Petaling Jaya.

Daripada jumlah kes itu, sebanyak 11 kes membabitkan samun berkawan tanpa senjata api, lima kes samun tanpa senjata dan lapan kes ragut.

Pada April lepas, polis Kuala Lumpur melancarkan operasi bersepadu khas bagi membendung jenayah khususnya ragut di pusat bandar.

Langkah itu berikutan peningkatan 99 peratus jenayah ragut dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu. BERNAMA

Artikel Lain