suria

Polis tahan lima lelaki, rampas ganja bernilai RM85,000

KUALA LUMPUR: Hukuman penjara 13 tahun dan 10 kali sebatan atas kesalahan dadah yang dijalani seorang pengedar dadah tiga tahun lepas gagal menginsafkan lelaki itu apabila dia sekali lagi ditahan polis semalam atas kesalahan yang serupa.

Penahanan lelaki tersebut di sebuah rumah di Kampung Datuk Keramat adalah susulan penahanan empat rakannya bersama dadah jenis ganja seberat 30.1 kilogram.

Penolong Pengarah Risikan Zon 1 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Bukit Aman ACP Zakaria Sudin berkata serbuan pertama ke atas empat lelaki tersebut dibuat kirakira 5.40 petang apabila polis menahan sebuah kereta persendirian dan dua buah teksi di sebuah stesen minyak di Taman Seri Rampai, Setapak.

"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan persendirian itu, polis menemui 34 ketulan mampat ganja di mana lapan ketul disorokkan di tempat duduk belakang dan 26 ketul lagi di tempat simpanan tayar yang telah diubah suai, katanya.

"Kesemua dadah tersebut bernilai lebih RM85,000 mengikut harga pasaran dadah dan dipercayai dibawa masuk melalui negara jiran untuk pasaran sekitar Lembah Klang," katanya.

Zakaria berkata dua buah teksi yang ditahan di lokasi serbuan itu dipercayai digunakan untuk pengedaran dadah tersebut.

"Kita percaya sindiket pengedaran ganja ini telah beroperasi sejak awal tahun ini dan mereka bergerak menggunakan kenderaan untuk mengedarkannya di sekitar Lembah Klang," katanya.

Beliau berkata kesemua mereka yang berumur lingkungan 24 hingga 41 tahun itu kini ditahan reman sehingga 19 Mei ini dan boleh didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain