suria

Kegiatan judi dan seludup dibongkar

BUKIT MERTAJAM: Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) membongkar kegiatan perjudian melalui komputer di beberapa buah kafe Internet minggu lepas.

Kegiatan ini dikesan sewaktu polis mengadakan Operasi Banteras Jenayah dan Operasi Dadu sempena Program Polis Turun Padang di Seberang Perai Tengah yang bermula pertengahan bulan lalu.

"Dalam beberapa siri serbuan di kafe internet di sekitar daerah SPT antara 1 Mei dan 7 Mei lalu, kita telah menahan 12 orang berumur antara 20 dengan 67 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan mesin perjudian berkomputer.

"Kita juga merampas 45 buah komputer yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut," kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Dr Mohd Shah Hussin Shah di sini, hari ini.

Beliau berkata operasi mesin perjudian di kafe-kafe internet di daerah itu dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu.

Dalam operasi itu, polis turut membanteras kegiatan menyeludup minuman keras dan rokok apabila menyerbu sebuah rumah di Taman Sri Rambai pada 5 Mei lalu dan merampas 515 kotak minuman keras dan 585 karton rokok pelbagai jenama, yang kedua-dua barangan itu bernilai RM150,000 dan dipercayai diseludup dari negara jiran.

Seorang lelaki turut ditahan.

Mohd Shah berkata rumah itu dipercayai menjadi pusat transit barangan seludup berkenaan sebelum diedarkan di pasaran tempatan.

"Kita percaya rumah ini dijadikan sebagai pusat transit tidak sampai sebulan lalu dan polis menahan seorang lelaki berumur lingkungan 50an yang dipercayai menyewa rumah itu untuk membantu siasatan.

"Lelaki ini, yang bekerja di pasar Bukit Mertajam, direman selama tiga hari mulai 6 Mei lalu dan polis sedang mengesan dalang di sebalik kegiatan ini," katanya. BERNAMA

Artikel Lain