suria

Lelaki ada tanda menyerupai Influenza H1N1 dimasukkan ke Hospital Sarawak

KUCHING: Seorang rakyat tempatan yang baru kembali dari lawatan ke Amerika Syarikat dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak malam tadi sebagai langkah berjagajaga kerana mempunyai tanda yang menyerupai influenza H1N1.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Ramlee Rahmat berkata lelaki berusia 31 tahun itu menghidap batuk, demam dan selesema apabila dia pulang ke Sarawak pada 1 Mei lepas, dan contoh telah diambil daripada tekaknya untuk dikaji oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur.

"Kita ingin tahu jenis sebenar virus dari dalam badannya, dan keputusan itu dijangka diketahui petang atau malam ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan satu seminar mengenai kesihatan di bandar raya yang dihadiri pegawai dari negara-negara Asean.

Dr Ramlee berkata pengumuman mengenai kajian terhadap sampel yang diambil daripada lelaki itu akan dibuat sama ada oleh Menteri Kesihatan atau Ketua Pengarah Kesihatan.

Sebelum ini, dua kes serupa, masing-masing satu di Pulau Pinang dan di Selangor, disahkan sebagai negatif.

Dalam ucapannya pula, Dr Ramlee berkata Malaysia masih bebas daripada serangan influenza H1N1 ekoran langkah proaktif kerajaan menyekat ianya daripada merebak di negara ini.

"Kita ada kemudahan mengesannya, tak perlu bimbang," katanya. BERNAMA

Artikel Lain