suria

Mayat lelaki ditemui terapung di laut

SANGLANG: Mayat seorang lelaki ditemui terapung oleh nelayan di tengah laut, kirakira dua batu nautika dari pelantar ikan Kuala Kuar dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Sawaludin Hamenudin berkata mayat lelaki itu ditemui pada pukul 7 malam dan tiada pengenalan diri ditemui.

Berdasarkan keadaan mayat yang telah kembang dan berbau, polis percaya lelaki itu mati kira-kira tiga hari lepas, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati lelaki itu bukan nelayan dan berdasarkan tali yang dipakai ditangannya, polis percaya lelaki itu berketurunan India.

"Kami masih menyiasat sama ada lelaki itu dibunuh atau sebagainya...kami akan siasat dari segala aspek," katanya sambil menjelaskan bahawa setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mayat itu dihantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang kehilangan saudara atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, seorang nelayan Asri Ahmad, 40, dari Kuala Sanglang berkata beliau menjumpai mayat itu terapung di tengah laut ketika menangkap ikan bersama tujuh awak-awak di kawasan itu.

"Kami menghubungi polis Marin dan pasukan itu tiba pada kirakira pukul 12 tengah malam.

"Mayat itu terapung dalam keadaan meniarap tidak jauh dari tempat kami menangkap ikan, jadi kami menunggu sehingga polis tiba di situ," katanya ketika ditemui di sini hari ini. BERNAMA

Artikel Lain