suria

Kumpulan samun warga Indonesia tumpas, 7 lelaki ditangkap

JOHOR BAHRU: Polis percaya dapat menumpaskan kumpulan samun warga Indonesia yang bergerak aktif di Johor dan Pahang setelah menangkap tujuh anggotanya di sebuah rumah di Taman Puteri Wangsa di sini.

Polis turut merampas sejumlah besar pelbagai barangan bernilai RM20,000 termasuk sebuah monitor LCD, sejumlah barangan kemas, enam telefon bimbit, tujuh jam tangan, dua set televisyen dan alat perakam DVD selain dua bilah parang, pemulas skru dan alat pemotong besi.

Ketua Polis Johor Datuk Mokhtar Shariff berkata, sepasukan polis dari Johor Baharu dan Sri Alam menyerbu rumah yang menjadi tempat persembunyian kumpulan terbabit pada kirakira pukul 7.30 pagi semalam.

"Mereka bertindak agresif ketika pasukan polis cuba menahan mereka sehingga berlaku pergelutan, tetapi kita berjaya akhirnya," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Ketujuh-tujuh penjenayah warga asing yang berusia di antara 24 hingga 35 tahun bergiat aktif di dalam jenayah samun sejak setahun lepas dengan menjadikan kawasan perumahan dan kampungkampung sebagai sasaran, katanya.

Mokhtar berkata, kesemua mereka yang sedang ditahan reman selama tujuh hari sejak semalam itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Mokhtar berkata polis menahan seorang lelaki yang turut dipercayai terlibat dengan kegiatan samun pada 5.40 pagi semalam di Kampung Bakar Batu di sini.

Polis merampas sebilah parang dan dua buah motosikal daripada lelaki terbabit yang kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut pihak berkuasa, katanya.

Mokhtar berkata, polis yakin akan dapat menangkap saki baki kumpulan samun yang dianggotai lelaki terbabit.

Beliau turut mengumumkan penahanan tiga lelaki pada 15 April lepas dan dua lelaki pada 20 April lepas serta merampas dua buah lori curi daripada mereka.

Katanya keempatempat lelaki yang ditahan itu dipercayai anggota sindiket mencuri lori. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain