suria

Penagih menyesal hadir ke mahkamah kena hukuman lebih berat

KUALA LUMPUR: "Kalau tahu lebih baik tak datang," kata seorang penagih dadah yang kesal hadir ke Mahkamah Tinggi hari ini kerana terpaksa meringkuk semula ke dalam penjara.

Pesuruhjaya Kehakiman Zainal Azman Abdul Aziz sebelum itu telah membenarkan rayuan pihak pendakwaan supaya Azli Moohad Said, 33, dihukum penjara selama dua tahun bagi tuduhan memiliki dadah dan setahun lagi kerana menyuntik dadah ke badan sendiri.

Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh tangkap pada 23 Jun 2008.

Zainal Azman mengetepikan hukuman Mahkamah Majistret sebelum ini yang hanya menjatuhkan hukuman penjara selama sebulan bermula tarikh tangkap bagi tuduhan pertama dan dua tahun pengawasan bagi tuduhan kedua.

Azli, yang datang berseorangan, kelihatan terkejut dengan keputusan itu dan dengan wajah yang bengis, merenung ke arah Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin, sebelum dibawa keluar dari kandang tertuduh oleh anggota polis.

Zainal Azman berkata Azli perlu menerima hakikat bahawa hukuman yang dijatuhkan itu adalah satu bentuk pengajaran untuk menginsafkannya, dan jika hakikat itu tidak dapat diterima, dia akan terus bergelumang dengan dadah tanpa dapat mengubah apaapa dalam hidupnya.

Dalam penghakimannya, hakim itu kerap menasihati Azli supaya berubah dan tidak menyalahkan sesiapa atas apa yang berlaku.

"Kesalahan lampau kamu sama sahaja (terlibat dengan dadah) dan dah dua kali kamu masuk Pusat Serenti. Kamu tidak insaf, seolaholah kamu hanya pergi untuk berehat.

Majistret sebelum ini lebih (dalam membuat keputusan) kepada faktor mitigasi kamu berbanding kepentingan awam. Saranan kerajaan adalah supaya menjatuhkan hukuman berat kerana dengan dadah inilah berlakunya banyak kes samun dan rompak untuk menampung kos membeli dadah.

"Apabila diberi peluang bercakap (buat rayuan) kamu lebih salahkan keluarga. Kamu marahkan orang lain, sedangkan kesedaran datang dari diri sendiri. Nak salahkan orang lain benda mudah dan sepatutnya kamu kena tanya diri sendiri, apa kamu nak buat dengan hidup ini," katanya.

Terdahulu Azli yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah tidak memenjarakannya untuk memberi peluang memperbaiki hidupnya.

Dengan nada sedih dan linangan air mata, Azli mengakui bahawa sejak berusia 18 tahun hingga kini, dia banyak melakukan kejahatan tetapi dia mula berubah sejak akhirakhir ini apabila menerima kunjungan ibunya setelah lama tidak berjumpa.

"Terus terang saya katakan keluarga saya tidak ambil tahu tentang saya, selama ini saya tidak insaf tetapi apabila lihat ibu saya, saya insaf, saya kini bekerja sebagai pemotong rumput, keluarga saya miskin," katanya.

Aidatul Azura pula berhujah hukuman terdahulu terlalu ringan dan Majistret tidak menimbang kekerapan kesalahan lampau Azli (enam kesalahan sejak 1998 hingga 2005) yang membabitkan kesalahan yang sama.

Katanya Azli perlu dipenjarakan bagi tempoh yang lebih panjang dan masalah keluarga bukanlah menjadi penyebab kepada kesalahan yang dilakukan.

Bagi kesalahan pertama Azli didakwa memiliki 0.13 gram heroin dan 0.01 gram monoacetylmorphines manakala tuduhan kedua membabitkan kesalahan menyuntik dadah ke badan sendiri.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di kawasan Jalan Sarawak Off Jalan Pudu, pada 23 Jun 2008. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain