suria

Mahkamah Persekutuan ada kuasa tentukan isu kerusi DUN Perak

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menetapkan bahawa ia akan mendengar dan membuat keputusan berhubung isu perlembagaan mengenai siapa yang berkuasa mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri Perak sebagai kosong.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, yang mengetuai panel lima hakim, membuat keputusan bahawa mahkamah itu mempunyai bidang kuasa mendengar isu berhubung Perkara 63 Undang-undang Tubuh Negeri Perak, dan sebulat suara menolak bantahan awal Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V.Sivakumar, yang mencabar perkara itu dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan.

Empat hakim lain yang bersidang bersama beliau ialah Ketua Hakim Malaya, Datuk Arifin Zakaria, Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nik Hashim Nik Abdul Rahman dan Datuk S. Augustine Paul, dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk James Foong.

Tiga Anggota Dewan Undangan Negeri Perak Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Kapt (B) Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) telah memohon agar saman mereka terhadap Sivakumar dirujuk ke Mahkamah Persekutuan berdasarkan Perkara 63 Undang-undang Tubuh Negeri Perak 1957.

Isnin lepas, peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Sivakumar, membantah permohonan itu dengan alasan Mahkamah Persekutuan tidak ada bidang kuasa berurusan mengenai Perkara 63 Undangundang Tubuh Negeri Perak kerana ianya satu undangundang yang digubal sebelum Merdeka.

Apabila mahkamah menyambung prosidingnnya pada 11.35 pagi tadi, peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, yang mewakili ketiga-tiga wakil rakyat itu, memberitahu mahkamah bahawa persoalan yang perlu ditentukan ialah sama ada Perkara 36 (5) Undang-undang Tubuh Negeri Perak yang dibaca bersama Seksyen 12(3) Akta Pilihan Raya 1958, menetapkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya adalah badan yang sah bagi menentukan terdapat kekosongan bagi sesuatu kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Perak.

"Cara yang sepatutnya untuk menakrif Perkara 36(5) ialah bahawa kekosongan itu adalah kekosongan yang ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, dan bukannya oleh Speaker. Tidak ada peruntukan bagi Speaker menentukan berlaku kekosongan," katanya.

Pada 2 Feb lepas, Sivakumar mengumumkan bahawa Jamaluddin dan Mohd Osman, kedua-duanya daripada Parti Keadilan Rakyat, telah mengemukakan surat peletakan jawatan, dan beliau mengisytiharkan bahawa kerusi mereka kosong.

Bagaimanapun, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf, kemudiannya berkata bahawa mereka masih wakil rakyat, dan tidak akan ada pilihan raya kecil bagi kedua-dua kerusi itu.

Apabila peguam Tommy Thomas, yang juga mewakili Sivakumar, mencelah dan berkata bahawa pihaknya memerlukan masa untuk memfailkan afidavit, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail kemudian bangun dan meminta mahkamah supaya tidak menangguhkan kes itu.

"Kerajaan di Perak perlu berjalan dan masa adalah penting. Biarlah perkara ini diselesaikan secara muktamad," katanya.

Hakim Arifin kemudian mengarahkan Sivakumar mengemukakan afidavitnya. Beliau menangguhkan kes sehingga 9.30 pagi esok. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain