suria

Cadangan guru boleh berpolitik dengan bersyarat, Hishamuddin

PULAU PINANG: Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mempertahankan cadangan bagi membenarkan guru kumpulan A berpolitik asalkan tidak mengabaikan tugas dan tanggungjawab pembelajaran dan pengajaran di sekolah.

Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran melahirkan kebimbangan sekiranya guru tidak diberi ruang dalam politik ia akan menjejaskan hala tuju parti untuk mendekati rakyat.

"Cadangan saya itu bersyarat, semangat guru juga penting dalam politik, lihat sahaja kewujudan Umno ia bermula dengan semangat guru-guru.

"Mereka inilah yang menjadi mata, telinga dan suara rakyat. Saya bimbang jika semangat dan komitmen ini tidak diberi ruang dalam parti, hala tuju parti dalam usaha mendekati rakyat akan terjejas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam bahawa cadangan itu tidak sesuai dilaksanakan kerana dikhuatiri boleh memecahbelahkan golongan pendidik. Hishammuddin sebelum itu mengadakan lawatan ke Pusat Pendidikan Sains dan Matematik Serantau (RECSAM). Beliau yang juga Presiden ke-43 Pertubuhan Menteri Menteri Pelajaran Asia Tenggara (SEAMEO) akan melepaskan jawatan itu kepada Menteri Pendidikan Thailand Ahad ini.

"Dalam hal ini sesiapa sahaja boleh memberikan pandangan dan pendapat mereka supaya apabila keputusan dibuat nanti semua pihak akan berpuas hati," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin tidak menafikan perjuangan para pejuang bahasa dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau menjelaskan setiap keputusan yang akan dibuat berhubung isu itu akan mengambil kira fakta, angka dan kajian terperinci dan bukan berasaskan pertimbangan populariti atau politik.

Katanya keputusan hasil kajian itu akan diserahkan kepada Kabinet tidak lama lagi untuk tujuan ulasan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain