suria

Tukang masak dipenjara tujuh tahun sebabkan kematian tanpa niat

SHAH ALAM:Seorang tukang masak hari ini terlepas daripada hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini meminda pertuduhan daripada membunuh kepada menyebabkan kematian tanpa niat terhadap seorang pekerja Astro, tiga tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa sebaliknya menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap tertuduh, Yap Kok Liang, 35, setelah didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat, dengan menikam Anthony Puvendran a/l Suppiah, 36, menggunakan pisau 'rambo'.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di depan Sin Hoy Kee Restaurant & Pub, No: 497, Jalan PJU 1/6, Kampung Cempaka, Petaling Jaya, kira-kira pukul 12.15 pagi pada 29 Jun 2006.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kok Liang sebelum ini dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Mohd Yazid berkata setelah menilai keterangan saksi pendakwaan dan pembelaan tertuduh, mahkamah cenderung untuk menerima versi keterangan tertuduh iaitu dia berada di tempat kejadian untuk minum setelah pulang daripada memancing dan tiada sebab tertuduh membunuh mangsa hanya kerana mangsa tidak memberi rokok sedangkan di dalam beg tertuduh masih terdapat tiga batang rokok.

Berdasarkan keterangan saksi pendakwaan, tertuduh dikatakan pergi ke meja mangsa serta tiga rakannya untuk meminta rokok dan kemudian berlaku pertengkaran sehingga menyebabkan tertuduh mengambil sebilah pisau rambo dari mejanya lalu terus menikam mangsa.

Mohd Yazid berkata mahkamah mendapati Kok Liang bertindak menikam mangsa hanya untuk mempertahankan dirinya daripada terus diserang oleh mangsa dan rakanrakannya.

Beliau berkata mahkamah turut mengambil kira laporan bedah siasat iaitu selain mengalami kesan kecederaan akibat tikaman, mangsa turut mengalami kecederaan lain di lengan dan kepalanya.

"Fakta-fakta itu menunjukkan intipati di bawah Seksyen 304 (b) telah dipenuhi dan bukan Seksyen 302 dan setelah diteliti, pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah mengikut Seksyen 304 (b) dan tertuduh dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun bermula dari tarikh dia ditangkap (hari kejadian)," katanya.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memanggil seramai 13 saksi sementara pembelaan yang diwakili peguam Gooi Soon Seng mengemukakan seorang saksi. BERNAMA

Artikel Lain