suria

Polis buru enam anggota Ang Kim Lan

JOHOR BHARU: Polis Johor memburu enam lelaki dipercayai anggota kumpulan 'Ang Kim Lan' yang disyaki terbabit dalam serangan dan menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 68 tahun di Bandar Seri Alam, Ahad lepas.

Selepas serangan yang turut mencederakan seorang lagi lelaki itu, kumpulan terbabit juga disyaki bertanggungjawab membakar sebuah kereta Proton Perdana V6 dan sebuah Perodua Kelisa di Taman Rinting di Masai.

"Kami percaya mereka ini terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dan berebut kawasan dengan kumpulan pengedaran dadah yang lain," kata Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Sharif kepada pemberita di sini hari ini.

Mereka yang diburu polis itu ialah K. Jaganathan, 32, dari Taman Universiti, Johor Baharu; M. Jyee Ganason, 25, dari Taman Melati, Kota tinggi; D. Marttin, 25, dari Taman Plentong Baru, Masai; M. Thanenthiran Naidu, 25, dari Taman Sri Lalang, Kota Tinggi; P.R. Navanithan, 22, dari Taman Kota Masai, Pasir Gudang; dan Chuah Cheong Ting, 37, dari Taman Perling, Johor Baharu.

Beliau berkata dua daripada suspek itu masingmasing mempunyai empat rekod jenayah lampau dan kesemua mereka yang berasal dari negeri ini disifatkan polis sebagai penjenayah kejam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka diminta menghubungi polis di talian 07-2212999 atau www.polisjohor.gov.my atau menghantar surat kepada Mohd Mokhtar sendiri.

Sementara itu, polis juga mencari seorang lelaki Chan Kok Kong, 35, yang beralamat terakhir di 238A, Jalan Pasar, Teluk Intan di Perak bagi membantu siasatan 18 aduan dari 754 individu yang mendakwa ditipu.

Mereka mendakwa ditawarkan pekerjaan sebagai kelasi kapal di Rusia sejak pertengahan bulan lepas dengan dijanjikan gaji lebih kurang S$6,000 sebulan, tetapi untuk mendapatkan pekerjaan itu, mereka dikehendaki membayar S$100 kononnya bagi membuat visa ke Rusia.

Chan didakwa menghilangkan diri selepas mendapat salinan pasport antarabangsa, kad pengenalan, buku akaun bank dan beberapa dokumen lain daripada mangsa terbabit. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain