suria

Angka RM60 bilion dalam mini bajet bukan rekaan- Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jumlah RM60 bilion untuk pakej rangsangan ekonomi kedua bukanlah satu angka yang direka-reka kerajaan, mahupun sebagai 'silver bullet" iaitu satu penyelesaian tuntas kepada cabaran kegawatan ekonomi yang sedang melanda.

Timbalan Perdana Menteri berkata RM60 bilion itu adalah satu realiti kerana daripada jumlah itu, sebanyak RM15 bilion ialah peruntukan kerajaan, iaitu RM10 bilion untuk tahun ini dan RM5 bilion tahun depan.

"Sebanyak RM25 bilion ialah suntikan dalam bentuk tambahan pinjaman kredit yang tak mungkin jadi kenyataan tanpa pakej rangsangan kedua ini.

"Saya ingin menegaskan sekali lagi RM60 bilion ialah jumlah sebenar yang menjadi suntikan kepada ekonomi negara," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2009 (Pakej Rangsangan Kedua) di Dewan Rakyat di sini Khamis.

Kepada soalan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) sama ada transparensi dan akauntabiliti diamalkan dalam melaksanakan pakej rangsangan itu, Najib berkata beliau tidak menolak cadangan baik yang dikemukakan itu.

Najib berkata kerajaan akan menentukan perbelanjaan kerajaan selaras dengan konsep berbaloi dengan nilai wang menerusi kaedah kawalan tender terbuka dan tender terhad.

Katanya tender secara rundingan terus tidak digalakkan dan kerajaan percaya langkah ini akan menambah pendapatan kerajaan.

Najib juga mengulangi saranan supaya kerajaan dan pembangkang bekerjasama untuk menangani dan memulihkan ekonomi dalam apa cara yang mungkin, walaupun mempunyai pendapat berbeza dalam politik.

"Kerajaan Barisan Nasional tidak akan lari daripada menggalas amanah dan tanggungjawab dan yang penting ialah kesejahteraan rakyat dan melalui pakej rangsangan pembelaan rakyat, InsyaAllah, kita akan berbuat demikian dari semasa ke semasa," katanya.

Mengenai bantuan tanam semula getah, beliau berkata kerajaan menetapkan jumlah sebanyak RM6,000 bagi setiap sehektar kepada pekebun kecil, bagaimanapun kos lain seperti baja sentiasa dipantau supaya mereka mendapat faedah.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan bersikap telus dalam hal itu sama ada di Dewan Rakyat atau semasa membuat pengumuman di akhbar dari semasa ke semasa mahupun mewujudkan laman web sekalipun.

"Saya beri jaminan kerajaan bersikap telus dan bertanggungjawab dalam hal ini. Jangan bimbang YB," katanya.

Pada Selasa lepas, Najib semasa membentangkan pakej rangsangan kedua berkata pakej RM60 bilion yang akan dilaksana dalam tahun 2009 dan 2010 belum pernah dilaksanakan dalam sejarah ekonomi negara, dengan RM15 bilion untuk suntikan fiskal, RM25 bilion dana jaminan, RM10 bilion pelaburan ekuiti dan RM7 bilion inisistif kewangan swasta dan cadangan "off-budget".

Semasa menggulung perbahasan hari ini, beliau berkata projek-projek yang dipilih di dalam kedua-dua pakej rangsangan berkenaan ialah yang berkepentingan orang ramai dan memberi kesan secara langsung iaitu projek perumahan, projek perumahan rakyat termiskin dan program mesra rakyat.

Najib membidas Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) yang mencadangkan jumlah pakej hanya RM15 bilion yang boleh menyebabkan negara mengalami kegawatan ekonomi negara.

"Pembangkang pun tak senada... Bagan (Lim Guan Eng dari DAP) minta RM100 juta," katanya, yang kemudiannya mencetuskan kekecohan antara anggota Parlimen pembangkang dan penyokong kerajaan.

Mengenai pemberian wang tunai kepada golongan mudah terjejas yang menerima pendapatan kurang RM700 sebulan, Najib berkata kerajaan akan membelanjakan sebanyak RM830 juta menerusi program jaringan keselamatan sosial.

Untuk mereka yang bekerja, kerajaan akan mengamalkan konsep memberikan "mata kail daripada memberi ikan" kerana jika memberi wang tunai, ia hanya akan menyelesaikan masalah mereka dalam jangka pendek.

Katanya kerajaan juga komited untuk menemui sasaran mengurangkan kadar miskin tegar pada tahun 2010 dengan menambah anggota yang boleh mengesan mereka yang terbabit.

Sebanyak 27 anggota Parlimen membahaskan rang undang-undang itu sejak ia dibentangkan bagi bacaan kali kedua Selasa lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain