suria

Dakwaan politik wang, SPRM 'serbu' pejabat Azalina

PETALING JAYA: Selepas seminggu menahan setiausaha politik, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 'menyerbu' pejabat Menteri Pelancongan di ibu negara pagi semalam.

Tiga pegawai SPRM menghabiskan hampir tiga jam untuk mendapatkan bukti susulan dipercayai berhubung amalan politik wang menjelang pemilihan Umno hujung bulan ini.

Menurut sumber, pegawai-pegawai SPRM keluar dari pejabat menteri berkenaan dengan membawa keluar beberapa dokumen.

Dua fail berkaitan dengan perwakilan Umno Wilayah Persekutuan dipercayai dibawa keluar ekoran kunjungan tersebut.

Malah mereka juga menemu bual dua pegawai kanan di pejabat Datuk Azalina Othman yang terletak di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur.

Menurut sumber, pegawai-pegawai SPRM mengunjungi pejabat tersebut kira-kira pukul 10 pagi tetapi Azalina tiada di pejabat.

Bagaimanapun pegawai pejabat Azalina memberitahu, SPRM tidak merampas apa-apa dokumen dari pejabat mereka.

Rabu lalu, SPRM menahan pegawai tersebut - setiausaha politik, didapati membawa bersama wang tunai RM75,000 dalam keretanya.

Setiausaha politik itu dan menterinya turut layak untuk bertanding kerusi Majlis Tertinggi.

Dia telah dibebaskan awal Khamis lalu selepas kenyataannya diambil.

Dalam pada itu, pegawai-pegawai Azalina menafikan kunjungan SPRM ada kaitan dengan isu wang tunai tersebut.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, pejabat Menteri Pelancongan berkata, pihaknya memberikan kerjasama penuh kepdada SPRM berhubung isu tersebut.

"Kami mempunyai keyakinan penuh terhadap MACC dan yakin bahawa kami akan dibersihkan menerusi siasatan mereka," katanya.

SPRM tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan.

Ahad lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta SPRM menyegerakan siasatan terhadap setiausaha politik berkenaan.

Sehubungan itu kata Perdana Menteri, pegawai kanan tersebut harus dibebaskan jika tidak bersalah.

Beliau berpendapat kes tersebut kemungkinan menjejaskan peluang setiausaha politik berkenaan jika bertanding dalam pemilihan Umno pada 26 Mac ini.

"Jika dia tidak melakukan apa-apa kesalahan termasuk dakwaan politik wang, saya berharap dia akan dibebaskan dengan secepat mungkin.

"Kemungkinan dia bertanding... jadi jangan tangguhkan (siasatan)," kata beliau.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain