suria

Shahrizat tidak mahu politik paksaan peroleh mandat

KUALA LUMPUR: Calon Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, beliau tidak percaya kepada politik paksaan, sebaliknya yakin bahawa perwakilan sedia mengetahui sebab mereka mahu mengundinya 25 Mac ini.

“Semua perwakilan yang akan undi saya mesti tahu kenapa dia nak undi saya, bukan kerana ketua mereka suruh atau tidak. Wanita perlu buat perubahan kalau tidak, kita ketinggalan zaman.

"Kita perlu bela 1.3 Wanita Umno di cawangan, bahagian dan negeri terutama dalam bidang ekonomi dan kepakaran ilmu selain lantang memperjuangkan isu keluarga syariah,” katanya kepada media selepas majlis suai kenal calon-calon jawatan Exco Pergerakan Wanita Umno bersama perwakilan Wanita Umno Wilayah Persekutuan di sini, semalam.

Ketika diminta mengulas kenyataan bakal Naib Ketua Wanita, Datuk Kamilia Ibrahim semalam yang menyatakan lebih serasi bekerja dengan beliau, Shahrizat menyifatkan ia sebagai satu penghargaan.

“Saya ucap terima kasih kepada Datuk Kamilia atas kepercayaan yang beliau berikan kepada saya, saya amat menghargai kepercayaan dan sokongan oleh Kamilia.

Berhubung hasil kajian Universiti Malaya (UM) yang menunjukkan beliau mendapat undi melebihi saingannya, Tan Sri Rafidah Aziz bagi jawatan Ketua Wanita, berkata, Shahrizat berkata, ia adalah pendapat orang awam tetapi akhirnya keputusan terletak di tangan perwakilan yang akan membuang undi, akhir bulan ini.

“Mungkin kaji selidik hanya pendapat orang awam tapi pemilihan parti seperti ini (pada) akhirnya amanah itu terletak kepada perwakilan dan pada saya ia juga adalah mustahak.

"Dalam pemilihan parti politik, nasib calon terletak dalam tangan mereka (perwakilan) maka tunggulah 25 Mac. Apabila perwakilan menjalankan amanah itu, barulah tahu siapa yang diberi kepercayaan," katanya.

Sementara itu, Kamilia ketika diminta mengulas kenyataannya semalam bahawa beliau lebih selesa bekerja dengan Shahrizat berkata, jika takdir menentukan Rafidah berjaya mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Wanita, beliau juga tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan ketuanya.

Kamilia yang menang tanpa bertanding bagi jawatan Naib Ketua berkata, sebagai keluarga besar, sikap profesional perlu ada bagi membolehkan sayap Umno itu melaksanakan peranannya kepada agama dan negara.

"Kita ahli politik profesional, jadi (jika) takdir beliau (Rafidah) menang, kita akan bekerja sebagai (orang) yang profesional, (contohnya) macam mak marah tapi akhirnya pergi (kepada ibu) juga.

"Ini keluarga besar, jangan risaulah," katanya.

Ketika mengulas lanjut mengenai kecenderungannya terhadap Shahrizat berbanding Rafidah, Kamilia berkata, terdapat persamaan antara dirinya dan Naib Ketua Wanita itu antaranya membabitkan agama.

Sementara itu, Pengerusi Tetap Wanita Umno yang menang tanpa bertanding, Tan Sri Napsiah Omar berkata, calon yang terpilih dalam pemilihan pelbagai jawatan dalam sayap Umno akhir bulan ini perlu bersedia untuk menjadi pemimpin dalam konteks nasional.

"Bukan sekadar pemimpin Umno tetapi juga di peringkat nasional, sebab itu saya nak ingatkan supaya (perwakilan) berhati-hati untuk memberikan undi pada pemilihan nanti," katanya.

Artikel Lain