suria

Dua pelajar Cameroon didakwa miliki duit palsu

KUALA LUMPUR: Dua pelajar kolej swasta warga Cameroon mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memalsu dan menukar duit palsu, dua minggu lepas.

Emmanuel Linwe Gwei, 33, dan Mathurin Ayina, 23, didakwa telah menggunakan sebagai tulen 1,191 keping mata wang kertas RM50 palsu di tempat letak kereta, Hotel Melia, Jalan Imbi di sini, pada pukul 1.05 tengah hari, 16 Februari lepas.

Bagi pertuduhan tersebut mereka didakwa mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau keduaduanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua pula mereka didakwa telah menipu Pengiran Haji Haris Pengiran Haji Doraman, seorang warga Brunei, iaitu dengan curangnya mendorong beliau menyerah wang tunai USD50,000 untuk tujuan penukaran bagi RM300,000 yang palsu pada hari yang sama.

Mereka boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun dan sebat dan denda bagi pertuduhan tersebut yang didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Norhanum Hassan memohon agar keduadua lelaki itu dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin masing-masing serta meminta pas lawatan mereka ditahan.

Peguambela yang mewakili keduadua tertuduh, S.Narasimhan membuat rayuan dan meminta mereka diwakili oleh seorang penjamin sahaja.

Hakim Mohd Sekeri Mamat bagaimanapun menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin kepada setiap seorang dan meminta mereka melaporkan diri di balai polis berhampiran seminggu sekali.

Hakim menetapkan 3 April depan untuk sebutan kes mereka. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain