suria

Suspek perogol bersiri ditahan ketika terima rawatan

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki perogol bersiri dan pengedar dadah yang paling dikehendaki ketika dia mendapatkan rawatan di sebuah hospital barubaru ini.

Suspek berusia 31 tahun itu ditahan pada 11 Februari ketika sedang mendapatkan rawatan untuk luka lecur akibat dibakar sekumpulan lelaki, dipercayai sindiket pengedaran dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, lelaki berkenaan diburu polis kerana disyaki terlibat dalam beberapa siri kes samun dan rogol di sekitar Lembah Klang tahun lepas.

"Siasatan awal mendapati suspek merupakan seorang pengedar dadah dan menggunakan sebuah teksi curi untuk menyamun dan merogol mangsanya.

"Minggu lepas teksi curi suspek dibakar oleh sekumpulan lelaki dan mereka juga bertindak membakar suspek di Cheras.

"Suspek berjaya selamatkan diri sebelum mendapatkan rawatan di sebuah hospital dan hasil maklumat orang ramai, polis berjaya menahan lelaki itu di hospital berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ku berkata, lakaran wajah lelaki itu pernah diedar oleh polis bulan lepas, setelah dua mangsa rogol membuat laporan polis terhadapnya.

Beliau berkata polis percaya masih ramai mangsa yang belum tampil membuat laporan polis terhadap lelaki itu dan mereka yang ingin berbuat demikian boleh menghubungi talian 0321466689 bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ku berkata, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menghantar SMS palsu mengenai sesuatu kejadian jenayah dan yang berbaur perkauman.

"SMS palsu yang terbaru ialah mengenai seorang kanakkanak bernama Sherley diculik di Cheras dan ibu kanakkanak itu meminta bantuan orang ramai.

"Apabila disiasat, polis mendapati ia adalah palsu dan dilakukan sekumpulan pelajar sekolah," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain