suria

Malaysia lubuk emas penjenayah warga asing

KUALA LUMPUR: Tempat persinggahan dan lubuk emas mungkin merupakan dua deskripsi sesuai mengenai negara ini bagi warga asing untuk melakukan samun dan pecah rumah sebelum pulang ke negara masing-masing bersama hasil yang diperoleh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC II Hasnan Hassan berkata perbuatan mereka sukar dikesan kerana kebanyakan daripada mereka masuk ke negara ini secara sah.

"Mereka 'melancong' di Malaysia hanya sekitar satu hingga dua bulan sebelum pulang ke negara masing-masing dengan membawa hasil samun," katanya kepada Bernama.

Namun, selicik manapun penjenayah negara asing ini, Polis Diraja Malaysia tidak mudah mengalah.

Kejayaan polis menembak mati empat anggota samun dan pecah rumah warga Indonesia dikenali 'Geng Anga' di Bangi pada Selasa lepas, adalah satu lagi bukti pencapaian polis dalam menumpaskan kumpulan penjenayah asing sejak beberapa tahun lalu.

Hasnan berkata polis mengesan beberapa kes serupa menggunakan taktik menyamun kereta untuk melakukan kegiatan samun di kawasan perumahan terpencil dan pedalaman serta menyamun pemandu yang berseorangan dalam kereta di jalan sunyi.

Beliau berkata 'peralatan wajib' yang sering dibawa penjenayah semasa melakukan kegiatan samun itu adalah senjata tajam seperti pisau dan parang atau pistol.

Katanya apa yang menjadi kebimbangan adalah senjata itu bukan dibawa semata-mata untuk menakutnakutkan tetapi digunakan oleh penjenayah untuk mencederakan mangsa.

Ada antara mereka bergerak secara bersendirian dan ada juga secara berkumpulan.

"Kita sentiasa memastikan kegiatan mereka ini dibanteras melalui operasi seperti 'Ops Rantau' yang khusus membanteras kegiatan warga asing ini," katanya.

Selain warga Indonesia, penjenayah dari Vietnam dan Myanmar juga sering terlibat.

Hasnan berkata kebanyakan daripada warga asing ini tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap dan sering berpindah randah bagi memastikan kegiatan mereka sukar dikesan.

Beliau menasihatkan orang ramai terutamanya penduduk di kawasan pedalaman supaya memastikan lampu di halaman rumah mereka sentiasa dipasang dari malam hingga ke pagi.

"Jangan terlalu berkira dengan bil elektrik," katanya.

Pengguna jalan raya yang sering memandu di waktu malam dan melalui kawasan sunyi pula dinasihati supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga seperti mengunci kereta atau menyediakan kayu atau peralatan yang boleh digunakan dalam keadaan terancam.

Penganalis jenayah Dr Kamal Affandi Hashim berkata bahawa dalam melakukan jenayah, warga asing kadangkala mendapat kerjasama rakyat tempatan yang memberi kemudahan seperti tempat tinggal dan kenderaan, malah ada yang menjadi pemandu menghantar mereka ke lokasi yang disasarkan.

Beliau menyifatkan rakyat Malaysia sebegini sebagai musuh negara. Kamal berkata walaupun kegiatan licik penjenayah asing yang masuk secara halal ke negara ini menyukarkan pihak berkuasa mengesan kegiatan jenayah mereka, namun hasil risikan yang berkesan, banyak kumpulan jenayah terbabit berjaya ditumpaskan.

"Namun kita tidak harus mengharapkan polis semata-mata. Orang ramai perlu bekerjasama dengan menyalurkan maklumat bagi memastikan jenayah tersebut tidak terus berkembang," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain