suria

"Kami tetap hadir sidang DUN" - Jamaluddin

PETALING JAYA: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang kini menjadi kontroversi akan tetap hadir persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika dipanggil tanpa menghiraukan kononnya mereka akan dihalang daripada memasuki Dewan.

ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi berkata tiada siapa yang boleh menghalang beliau daripada menghadiri persidangan DUN.

"Kenapa perlu halang saya, saya masih ADUN.

"Saya ada hak sebagai ADUN Behrang, tiada siapa boleh halang saya," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Semalam Speaker DUN Perak V. Sivakumar berkata kerajaan negeri Perak tidak lagi mengiktiraf Jamaluddin Mohd Radzi dan Mohd Osman Mohd Jailu sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak kawasan Behrang dan Changkat Jering.

Jawatan exco yang dipegang oleh kedua-dua ADUN itu juga dilucutkan dan mereka tidak dibenarkan menghadiri persidangan DUN negeri yang akan datang.

Jamaludin yang disahkan sebagai ADUN oleh Oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam berkata, bentuk tindakan akan dibincangkan dengan peguam jika beliau dihalang daripada memasuki Dewan.

"Saya nak berkhidmat sebagai wakil rakyat Behrang," katanya.

Dalam pada itu Jamaluddin berkata beliau juga telah dihubungi oleh Mohd Osman (ADUN Changkat Jering) bagi memaklumkan bahawa beliau juga telah keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"ADUN Changkat Jering baru hubungi saya dan beliau kata beliau telahpun keluar dari PKR.

"Kami telah dihalau oleh pemimpin-pemimpin PKR dan buat apa kami tunggu lagi," katanya.

Bagaimanapun Jamaluddin berkata beliau tidak merancang untuk menanggalkan papan tanda PKR di premis pusat khidmatnya.

"Saya tak akan tanggalkannya, PKR menolak saya tetapi saya tidak akan menolak PKR.

"Isteri dan anak-anak saya masih anggota PKR," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain