suria

Tiada wakil rakyat Negeri Sembilan akan lompat parti

SEREMBAN: Kesemua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Negeri Sembilan diminta supaya tidak lagi melayan perang psikologi pembangkang bahawa ada ADUN negeri ini yang mahu melompat parti, sebaliknya mereka perlu bekerja keras terutama untuk membangunkan semula parti pemerintah dan negeri ini.

"Kita tidak boleh terjebak dengan perang psikologi pembangkang. Selepas penjelasan daripada ADUN ini, kita harap isu ini tidak lagi dibincangkan," kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan anggota Kelab Penyokong Kerajaan di sini, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan yang juga Adun kawasan Sungai Lui, Datuk Zainal Abidin Ahmad menegaskan bahawa tidak ada Adun dari Negeri Sembilan yang mahu keluar daripada Barisan Nasional (BN).

"Kesemua Adun BN ada di sini (dalam pertemuan hari ini) dan kita sedang membincangkan cara terbaik untuk memperkuatkan parti," katanya. Adun kawasan Palong Datuk Aziz Shamsudin yang selama ini dikaitkan sebagai orang yang berpotensi untuk melompat parti, turut tampil menafikan tuduhan itu. "Saya tidak sesekali akan melompat parti. Memang tidak ada wakil pembangkang menemui saya tetapi saya sendiri tidak teringin untuk menerima kedatangan mereka ini," katanya.

ADUN kawasan Serting yang juga Exco Pelajaran dan Pengajian Tinggi, Shamsulkahar Mohd Deli pula menjelaskan beliau telah difitnah dalam laman web kononnya akan melompat parti.

"Tuduhan ini telah memberi kesan kepada saya. Hari ini saya mahu membersihkan nama daripada tuduhan itu. Ini merupakan fitnah daripada orang yang tidak bertanggungjawab," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain