suria

Samy Vellu mahu MIC-IPF bergabung

PERTEMUAN antara Datuk Seri S. Samy Vellu dan mendiang Tan Sri M.G. Pandithan tiga tahun lalu di ibu negara. Pandithan pengasas IPF meninggal dunia awal tahun lalu.
PERTEMUAN antara Datuk Seri S. Samy Vellu dan mendiang Tan Sri M.G. Pandithan tiga tahun lalu di ibu negara. Pandithan pengasas IPF meninggal dunia awal tahun lalu.
PERTEMUAN antara Datuk Seri S. Samy Vellu dan mendiang Tan Sri M.G. Pandithan tiga tahun lalu di ibu negara. Pandithan pengasas IPF meninggal dunia awal tahun lalu.

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu mempelawa Barisan Progresif India (IPF), yang ditubuhkan oleh pemimpin yang beliau pecat dua dekad yang lalu, untuk bergabung dengan parti itu bagi menyatupadukan kaum India.

"Kami akan memberikan penghormatan sewajarnya dan akan melayan mereka seperti saudara kami sendiri," kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Samy Vellu berkata, beliau akan menghantar surat kepada Presiden IPF, Puan Sri Jayashree Gnanapandithan, isteri mendiang Tan Sri M.G. Pandithan yang mengetuai IPF sebelum kematiannya tahun lalu, mengenai kemungkinan kedua-dua parti bergabung.

IPF ditubuhkan oleh Pandithan selepas dipecat pada 1988 dan pernah menganggotai Gagasan Rakyat sebelum kembali menyokong Barisan Nasioanl (BN) sejak pilihan raya umum 1995.

Sejak itu, IPF berusaha untuk menjadi anggota BN tetapi dihalang oleh Samy Vellu.

Samy Vellu telah menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan IPF sejak lima tahun lalu, tetapi ini kali pertama mempelawa untuk bergabung.

Presiden MIC yang lama berkhidmat itu menambah, pihaknya turut mempelawa semua bekas anggota IPF untuk menyertai parti berkenaan.

Bekas anggota Kabinet itu melahirkan hasrat itu dua hari selepas MIC mengetepikan keputusan Jawatankuasa Disiplin untuk memecat bekas Naib Presiden MIC, Datuk M. Muthupalaniappan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan yang dianggap menjejaskan kepentingan parti.

Malah pada hari yang sama, Samy Vellu mengumumkan bahawa parti itu akan menerima semula penyertaan bekas anggota MIC secara berperingkat.

Antara mereka yang telah diterima masuk ialah bekas pengkritik lantang kepimpinan Samy Vellu, K.P. Samy dari Selangor.

Samy Vellu berkata, MIC ikhlas dalam usahanya untuk menyatupadukan semua kaum India dan masyarakat India tidak mampu untuk berpecah belah lagi.

"Masanya sudah tiba untuk kaum India bersatu padu sebagai sebuah pasukan yang kuat," katanya.

Samy Vellu berkata senario politik telahpun berubah "dan kita perlu bergerak dan bertindak bersama dengan arus perubahan."

"Kita perlu menyusuri arus," kata beliau sambil menambah, kaum India di Malaysia jumlahnya kecil iaitu kira-kira 1.8 juta dan kini berpecah kepada beberapa parti politik.

Beliau berkata, hanya dengan bersatu padu akan membolehkan kaum India memperoleh "kuasa tawar-menawar" yang kuat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain