suria

Hudud: Pendirian Karpal fobia atau tanda keretakan Pakatan

PETALING JAYA: Pergolakan antara Pengerusi DAP, Karpal Singh dan PAS berhubung pertikaian isu undang-undang hudud dan qisas dilihat hanya sebagai 'fobia' peribadi tanpa melibatkan keseluruhan parti tersebut.

Bagaimanapun penganalisis-penganalisis melihat isu ini sebagai permulaan kepada keretakan yang wujud antara komponen Pakatan Rakyat.

Pensyarah Kanan Sains Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Ahmad Nizamuddin Sulaiman, berpendapat Karpal hanya dibayangi 'ketakutan' mengenai pelaksanaan hukum Islam itu.

"Dari dulu lagi apabila kita menyebut mengenai hudud, Karpal adalah orang yang paling fobia dan takut mengenainya.

"Mungkin dia takut bila tahu secara kasar bahawa hukuman bagi orang yang mencuri akan dipotong tangan yang membuatkan dia tak boleh terima undang-undang ini," katanya kepada mStar Online.

Isu hudud timbul semula pertengahan bulan lalu sehingga menjadi antara bahan kempen dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang berakhir Sabtu lalu, yang dimenangi calon PAS dan Pakatan Rakyat.

PAKATAN TIDAK MUDAH BERPECAH

Namun jelas Ahmad Nizamuddin, masa depan DAP bersama Pakatan Rakyat masih akan kekal bagi memastikan agenda politik mereka untuk menggulingkan Barisan Nasional (BN) tercapai.

"Jangan ingat mereka akan mudah berpecah sebelum target mereka mengena sasaran, matlamat itu yang mengikat mereka.

"Ini semua 'gimik' dalam politik, buat masa ini mereka masih memerlukan antara satu sama lain," katanya.

Atas dasar itu juga menurut beliau, ramai pemimpin DAP mengambil pendekatan berdiam diri tanpa mengulas lanjut mengenai isu hudud ini.

"Pemimpin DAP juga kebanyakkan memang tidak mahu pelaksanaan hudud, tapi mereka terpaksa 'pejam mata' dulu.

"Malah ada juga yang melahirkan pandangan bahawa bantahan Karpal adalah bersifat peribadi dan tidak mencerminkan pendirian parti... ini semua bagi memastikan agenda mereka terlaksana terutamanya bagi memenangi hati orang Melayu," katanya.

Bagaimanapun jelas beliau, ikatan pembangkang yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP itu mungkin akan berkubur jika mereka berjaya mengambil alih kerajaan pada masa akan datang.

"Tidak mustahil mereka akan berpecah dan bawa haluan masing-masing nanti kerana matlamat yang mengikat mereka sudah dicapai.

"Apa lagi yang mereka mahu? Masa itu masing-masing akan berusaha tegakkan ideologi parti mereka pula yang nyata berbeza antara satu sama lain," katanya.

AMARAN KARPAL

Pada 14 Januari lalu - tiga hari sebelum hari pengundian pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Karpal mengancam untuk menarik diri daripada Pakatan Rakyat sekiranya PAS masih mahu melaksanakan undang-undang hudud dan qisas jika pembangkang menerajui negara ini.

Katanya, hukum hudud dan qisas bukan menjadi dasar DAP dan tidak termasuk dalam manifesto Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum Mac lalu.

Pada 21 Disember lalu, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berkata, parti itu tidak pernah melupakan dasar perjuangannya untuk menegakkan pemerintahan Islam di negara ini termasuk melaksanakan hukum hudud.

PANDANGAN PERIBADI

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berpendapat kenyataan Karpal sebelum ini yang menolak hudud hanya merupakan pandangan peribadinya.

"Masalah ini Karpal saja yang bawa... dari dulu lagi dia bantah.

"Saya rasa PAS kena tarbiah (didik) Karpal supaya dia lebih faham," katanya.

Tambah beliau, sehingga kini DAP tidak pernah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung penolakan mereka mengenai hukum hudud.

Ahmad Atory juga mengakui pandangan Karpal hanya bersifat sebagai pendirian individu, bukan menggambarkan pendirian parti kerana tidak disokong oleh pemimpin-pemimpin lain.

"Kalau betul (DAP bantah) baik kita cabar DAP supaya buat kenyataan secara rasmi, mengapa Karpal seorang saja yang bersuara?

"Inilah yang kita namakan 'momok' politik kerana mereka sekadar mencetuskan isu tanpa menzahirkan pendirian," katanya.

Jelas beliau, sama ada PKR, DAP mahupun PAS mereka masing-masing memerlukan antara satu sama lain bagi mencapai matlamat untuk membentuk kerajaan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain