suria

Kes pembunuhan ahli perniagaan di Segamat selesai

JOHOR BHARU: Polis berjaya menyelesaikan kes pembunuhan ahli perniagaan Datuk M. Gunasegaran dengan pendakwaan terhadap tiga lelaki di Mahkamah Majistret Segamat, hari ini.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata polis mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwaraya semalam sebelum kesemua lelaki itu dituduh di mahkamah pada pukul 10.30 pagi tadi.

"Dua lelaki dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama manakala seorang lagi dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, " katanya kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat 95 anggota pangkat rendah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Beliau berkata polis menemui pistol yang digunakan dalam kejadian itu dan sepanjang tempoh siasatan, polis menahan reman tujuh suspek berusia 30 hingga 54 tahun dengan tiga lelaki daripadanya dihadapkan di mahkamah pagi ini manakala empat yang lain dibebaskan.

"Setelah disoal siasat, seorang lelaki berumur 47 tahun dibebaskan pada 8 Jan lepas sebelum seorang lagi lelaki berumur 45 tahun dibebaskan semalam selepas mereka didapati tidak terlibat dalam kes itu. Keputusan telah dibuat hari ini bagi membebaskan dua lagi suspek dengan jaminan polis manakala tiga lagi dituduh," katanya.

Gunasegaran, 49, Pengarah Urusan syarikat peminjam wang berlesen, ditembak ketika sedang berjoging di sebuah lorong belakang berhampiran Jalan Genuang, Segamat, pada pukul 6.15 pagi 18 Disember lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain