suria

Muflis: Jenapala mahu Anwar arah Syed Husin, Sivarasa minta maaf

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), P. Jenapala mahu Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak Timbalan Presiden, Dr. Syed Husin Ali dan Naib Presiden, R. Sivarasa mengemukakan permohonan maaf terbuka kepadanya.

Tuntutan permohonan maaf itu perlu ekoran kenyataan terbuka Syed Husin dan Sivarasa bahawa beliau telah diisytiharkan muflis dan digugurkan jawatan dalam parti.

"Saya akan berjumpa dengan Datuk Seri Anwar nanti dan mahu beliau arahkan mereka meminta maaf kepada saya.

"Pendedahan yang mereka buat kepada umum melalui media tanpa mengetahui kedudukan sebenar perkara ini telah menjatuhkan maruah dan memalukan saya," katanya kepada mStar Online.

Jenapala turut menegaskan bahawa beliau sememangnya telah meletakkan jawatan dalam parti setelah gagal menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapinya.

"Saya baru sahaja mengetahui bahawa sudah muflis sekitar bulan Mac lalu dan telah memaklumkannya kepada Datuk Seri Anwar.

"Kemudian Datuk Seri Anwar minta saya selesaikan segera masalah saya itu.

"Bagaimanapun sehingga sekitar bulan Jun lalu saya masih gagal selesaikan masalah dan saya sekali lagi berjuma dengan Datuk Seri Anwar dan beritahu saya nak letak jawatan," katanya.

Jenapala diisytiharkan muflis sejak tahun 2001 namun mendakwa hanya mengetahui mengenai perkara itu awal tahun lalu.

"Mereka kata saya sengaja sembunyikan kes muflis saya, macam mana saya tahu saya muflis sedangkan selama ini saya masih menjalankan perniagaan saya macam biasa... saya memang tak tahu," katanya.

Jelasnya lagi, Syed Husin dan Sivarasa sengaja untuk menghebohkan kepada umum mengenai perkara ini kerana berkemungkinan mempunyai agenda tersumbunyi untuk merosakkan karier politiknya.

"Apa rasional mereka dedahkan kepada semua orang? Sepatutnya mereka sebagai barisan pemimpin tertinggi dalam parti berhubung dengan saya untuk berbincang dan selesaikan masalah ini... bukan jatuhkan maruah saya melalui media," katanya.

Beliau memaklumkan bahawa sehingga hari ini belum ada mana-mana pihak dalam parti yang berhubung dengannya bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

"Sampai sekarang tak ada siapa datang tanya saya dan saya pun tak akan pergi jumpa mereka untuk jelaskan apa-apa.

"Saya hanya nak tunggu Datuk Seri Anwar balik dari luar negara untuk bincang sendiri dengan beliau," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain