suria

Rahim Thamby layak tanding Naib Presiden Umno

SEREMBAN: Anggota Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik hari ini mendapat pencalonan yang ke-20, dari Umno Bahagian Seremban bagi mencukupkan kuota melayakkan beliau bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti Mac depan.

Persidangan perwakilan Umno Seremban itu diadakan semula selepas ditangguhkan akibat dicemari insiden pergaduhan pada 9 November lepas.

Umno Bahagian itu turut mencalonkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden dan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin untuk jawatan Timbalan Presiden parti.

Seramai 304 perwakilan bahagian itu turut mencalonkan bekas Naib Presiden, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim bagi jawatan Naib Presiden.

Kejayaan bekas Ketua Menteri Melaka melepasi kuota 20 pencalonan menjadikan beliau calon terakhir melayakkan diri bersama lapan pemimpin yang lain untuk bertanding jawatan itu, Mac depan.

Lapan orang calon naib presiden yang telah layak ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Rais, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Mohd Isa dan Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis.

Diminta mengulas perkara itu, Abdul Rahim berkata, beliau bersyukur kepada Allah S.W.T kerana dapat melepasi kuota untuk menjadi calon Naib Presiden dan mengucapkan terima kasih kepada Umno Seremban dan bahagian yang lain kerana mencalonkannya.

"Walaupun saya menjadi pemimpin terakhir melayakkan diri dan memperoleh jumlah pencalonan sedikit, saya cuma melihatnya sebagai satu keghairahan untuk mendapatkan lesen dan bukan mencerminkan sokongan sebenar pada pemilihan nanti," katanya yang menjadi wakil pemantau MT pada mesyuarat perwakilan Umno bahagian itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain