suria

Kegiatan pecah kedai dan samun di Banting tumpas

BANTING Polis percaya dapat menumpas kegiatan pecah kedai dan samun di sekitar Pekan Banting di sini berikutan tertangkapnya empat lelaki pada 3 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt. Mohamad Radzi Ishak berkata, kesemua suspek yang berusia antara 25 hingga 46 tahun itu ditahan di Taman Banting Jaya dan Taman Setia Jaya dekat sini dalam serbuan berasingan pada hari tersebut.

"Berikutan penangkapan itu, polis berjaya merampas barangan curi berjumlah kirakira RM10,000 dan sebuah kereta Perodua Kancil berwarna merah yang digunakan oleh kumpulan terbabit.

"Siasatan juga mendapati kesemua suspek berkenaan didapati positif dadah," kata Mohamad Radzi pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat dekat sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam lapan kejadian rompakan di beberapa kedai sekitar Pekan Banting sejak 24 Okt lepas. Antara kedaikedai tersebut adalah sebuah kedai runcit, kedai telefon bimbit, kedai peralatan elektrik, kedai buku, dan kedai hardware.

"Hasil siasatan kami juga mendapati dua daripada empat suspek berkenaan mempunyai kemahiran membuka kunci mangga," kata Mohamad Radzi sambil menambah pihaknya sedang memburu seorang lagi suspek berhubung kejadian rompakan tersebut.

"Kesemua suspek yang ditahan reman kini disiasat bagi kes pecah masuk mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya. Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Radzi berkata, polis berjaya merampas beberapa set komputer bernilai kirakira RM102,000 dalam Ops Dadu Khas dari 17 Nov hingga 8 Disember lalu.

"Kami berjaya menangkap seramai 16 orang hasil daripada operasi yang dibuat di Banting, Teluk Panglima Garang dan Tanjung Sepat," tambahnya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain