suria

MT Umno mula mesyuarat, isu Zaid, pilihanraya kecil jangka dibincang

PETALING JAYA: Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang sedang diadakan sekarang djangka membincangkan mengenai beberapa isu penting termasuk isu pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, keputusan tindakan terhadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim serta konflik yang wujud dalam Pergerakan Wanita Umno.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata pilihanraya kecil Kuala Terengganu merupakan agenda utama yang akan dibincangkan pada mesyuarat berkenaan.

"Sudah tentu pilihanraya kecil di Kuala Terengganu akan kami bincang, namun isu mengenai Datuk Zaid atau wanita masih belum tentu.

"Malam ini baru kita dapat agenda mesyuarat," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi petang tadi.

Menurutnya walaupun Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) masih belum menetapkan tarikh, namun Umno akan membincangkan mengenai langkah-langkah awal yang akan dilakukan bagi menghadapinya.

Dijangkakan MT Umno akan membincangkan secara terperinci mengenai pilihanraya kecil berkenaan ekoran kematian penyandang kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang juga bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Datuk Razali Ismail pada Jumaat lalu.

Sementara itu fokus utama mesyuarat malam ini juga mungkin mengenai tindakan yang akan dikenakan terhadap Zaid kerana tindakannya menghadiri Kongres Tahunan Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR), di Shah Alam baru-baru ini.

Bagaimanapun Zaid yang hadir sebagai tetamu jemputan pada kongres berkenaan berkata kehadirannya pada Sabtu lalu sekadar menunjukkan minat terhadap politik.

Malah beliau juga berkata tidak takut jika Umno akan mengenakan sebarang tindakan terhadapnya.

Isu pergolakan yang timbul dalam sayap wanita parti itu juga dijangkakan akan dibangkitkan dalam mesyuarat berkenaan.

Isu berkenaan timbul ekoran pelan peralihan kuasa yang dirancang antara Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz dan timbalannya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Jun depan tidak menjadi kenyataan.

Pada pemilihan Umno Mac depan, Shahrizat akan menentang Rafidah untuk jawatan tertinggi sayap parti itu.

Artikel Sebelum

Umno pecat Zaid Ibrahim

Artikel Berikut

Artikel Lain