suria

Pengeluaran pencarum KWSP naik dengan ketara

KUALA LUMPUR: Skim pengeluaran pelaburan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyaksikan peningkatan ketara pada suku ketiga 2008 dengan jumlah permohonan diluluskan meningkat kepada 107,564 berbanding 75,239 permohonan pada suku yang sama tahun lepas.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, KWSP berkata peningkatan itu berikutan bertambahnya bilangan anggota yang layak di bawah skim pengeluaran itu.

Bagaimanapun, permohonan yang diluluskan pada suku kedua 2008 lebih tinggi pada 122,887 permohonan.

Mengulas mengenai angka suku ketiga, ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Azlan Zainol berkata pelaksanaan Simpanan Asas di bawah inisiatif strategik "Bukan Hanya Simpanan" KWSP telah membolehkan lebih banyak ahli terutama yang masih muda layak memohon skim pengeluaran pelaburan ahli.

Simpanan Asas dilaksanakan pada Februari 2008 di mana sejumlah simpanan dalam Akaun 1 ditetapkan mengikut peringkat umur bagi membolehkan ahli memperoleh simpanan minimum sekurangkurangnya RM120,000 ketika mencapai umur 55 tahun.

Menurut KWSP, pengeluaran pendidikan suku ketiga naik kepada 16,663 dengan RM85.01 juta dibayar daripada 10,454 (RM64.35 juta) pada suku kedua.

KWSP berkata bagi suku dalam kajian, pengeluaran penuh umur 55 tahun terus menjadi pengeluaran persaraan paling popular di kalangan anggota dengan 29,054 permohonan pengeluaran sebanyak RM1.236 bilion berbanding 32,526 permohonan (RM1.361 bilion) pada suku kedua.

Ia berkata pada suku ketiga 2008, permohonan diluluskan di bawah permohonan Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun pada 7,154 permohonan dengan RM403.51 juta berbanding dengan permohonan suku kedua sebanyak 6,587 permohonan (RM387.14 juta).

Menurut KWSP, jumlah permohonan yang diluluskan bagi pengeluaran umur 50 tahun yang diluluskan pada suku ketiga 2008 pada 26,449 (RM685.99 juta) berbanding suku kedua 2008 sebanyak 30,028 (RM786.11 juta).

Sementara itu, pengeluaran perumahan turun kepada 108,573 permohonan (RM1.577 bilion) pada suku ketiga 2008 berbanding 119,212 permohonan (RM1.827 bilion) pada suku kedua. BERNAMA

Artikel Lain