suria

Pemprotes sekat Parlimen

BANGKOK: Ketegangan berlaku berhampiran kawasan Parlimen di ibu negara ini apabila beribu-ribu pemprotes anti-kerajaan berkumpul untuk menyekat penggubal undang-undang daripada mengadakan satu sesi bersama dan cuba menumbangkan kerajaan Somchai Wongsawat.

Sehari selepas lebih 40,000 orang berkumpul d Rumah Kerajaan yang diduduki Pakatan Rakyat untuk Demokrasi (PAD) pada 26 Ogos, pemprotes mulakan perarakan sejauh satu kilometer ke kawasan Parlimen.

Diketuai oleh tokoh media Sondhi Limthongkul yang menganjurkan demonstrasi besar-besaran di ibu negara itu pada 2006 yang menyebabkan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra digulingkan, pemprotes kini menghadapi lebih 1,000 anggota polis yang ditempatkan di sekitar bangunan Parlimen sementara askaraskar diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Awal pagi ini, televisyen satelit ASTV kepunyaan Sondhi diserang apabila empat butir bom tangan meletup berhampiran dengan kawasan premis itu tetapi tidak ada kecederaaan dilaporkan.

Pertempuran antara polis dan PAD pada 7 Okt mengakibatkan dua orang pemprotes mati dan lebih 500 cedera, termasuk berpuluhpuluh orang anggota polis.

Antara agenda dalam sesi yang dirancangkan Dewan Perwakilan dan Senat hari ini ialah pindaan perlembagaan yang kontroversi dan satu undang-undang berkaitan peraturan perdagangan Asean.

Bantahan anti-kerajaan berlarutan menyebabkan kerajaan memindahkan Sidang Kemuncak Asean bulan depan ke Chiang Mai. Pemimpin PAD telah menyatakan ini akan menjadikan perjuangan akhir mereka untuk menyerang kerajaan sejak rapat umum di jalan raya dimulakan pada 25 Mei, menentang kerajaan yang dikaitkan dengan Thaksin.

Pada 26 Ogos, mereka menguasai Rumah Kerajaan, pusat pentadbiran negara dan menempatkan Pejabat Perdana Menteri. Somchai, adik ipar Thaksin, kini berada di Peru menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Sementara parlimen kekal sebagai sasaran utama pemprotes kemungkinan besar PAD akan menggerakkan penyokongnya untuk menduduki lokasi utama lain di ibu negara itu, termasuk pejabat sementara Somchai di Lapangan Terbang Don Muang dan institusi kewangan.

Pada Ahad, Barisan Bersatu Demokrasi (UPP) prokerajaan mengadakan perhimpuanannya sendiri di luar ibu negara ini tetapi tidak ada percubaan dibuat untuk menyerang PAD.

Dalam beberapa minggu lepas, kejadian serangan bom menentang penguasaan Rumah Kerajaan PAD banyak berlaku, termasuk yang terakhir pada Sabtu lepas yang menyaksikan seorang pemprotes terbunuh dan 29 lain cedera. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain