suria

Cadangan Mufti Australia ditolak

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Islamic High Council Darul Taqwa, Australia, Dr Alwan AlHasani menolak cadangan agar dihentikan amalan mengasingkan jemaah lelaki dan wanita ketika solat di masjid.

Beliau berkata cadangan tersebut tidak bertepatan dengan mazhab Shafie dan mana-mana mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Pendapat ini salah dan kita tidak bersetuju kerana ia tidak bertepatan dengan mazhab Shafie serta ulama-ulama besar," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Terengganu, Khazan Che Mat, di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Mufti Australia, Sheikh Fehmi Maji elIman yang mahu menghentikan amalan mengasingkan jemaah lelaki dan wanita ketika solat di masjid bagi memenuhi tuntutan kaum wanita. Sheikh Fehmi berpendapat, amalan mengasingkan jemaah lelaki dan wanita yang diperkenalkan sejak lama dulu, dibuat atas dasar budaya dan bukannya tuntutan agama serta memberi alasan ketika zaman Nabi Muhammad S.A.W, jemaah lelaki dan wanita tidak diasingkan ketika solat. Mengulas lanjut, Dr Alwan yang mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah pondok di Kelantan dan Terengganu berkata pendapat Sheikh Fehmi itu juga tidak menggambarkan pendapat Ahli Sunnah Wal Jamaah dan ia boleh mengelirukan umat Islam.

Beliau berkata Nabi Muhammad S.A.W telah menerangkan kepada umat Islam berhubung tertib kedudukan lelaki dan perempuan serta kanakkanak dalam solat.

"Jadi apa yang disebut oleh Nabi Muhammad inilah nas. Kita tidak boleh melangkauinya dan apa yang disebut oleh Rasullulah hendaklah diamalkan dan diterima.

"Zaman Rasullulah, ketika solat baginda menjadi iman dan di belakang baginda orang lelaki dan belakang lelaki itu barulah perempuan. Ini memelihara kaum perempuan kerana mereka tidak dipandang oleh lelaki," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain