suria

Polis tahan lelaki edar dadah guna kondom

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki warga Singapura kerana dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dengan menggunakan kondom dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Megah Ria, Seri Alam, di sini, empat hari lepas.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata lelaki berusia 55 tahun itu ditahan kirakira pukul 7.30 malam Rabu lepas di sebuah rumah teres dua tingkat yang disewa lebih tiga bulan lepas.

"Siasatan mendapati modus operandi sindiket ini ialah memasukkan dadah ke dalam kondom dan menelannya bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Dalam serbuan itu, Tun Hisan berkata polis merampas sejumlah kondom, sepucuk pistol automatik bersama 56 butir peluru, 4,463 gram heroin, 344 gram syabu, 789 gram ketamin, 2,000 biji pil Eramin 5 dan wang tunai Singapura S$11,290.

Turut dirampas adalah beberapa perkakas elektrik dan sebuah kereta dan siasatan awal mendapati lelaki itu mempunyai satu rekod berkaitan dadah di negaranya, katanya.

Katanya lelaki itu ditahan reman sehingga Selasa ini dan disiasat mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat Api) 1971 kerana memiliki pistol dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki peluru.

Sementara itu, Tun Hisan berkata polis menahan 27 lelaki dan 10 wanita yang dipercayai terlibat dalam kegiatan perjudian dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Taman Pelangi, di sini, kira-kira pukul 12.40 malam, dua hari lepas.

"Seorang daripada 10 wanita yang ditahan merupakan rakyat asing. Kesemua lelaki dan wanita yang berumur 22 hingga 65 tahun itu sedang asyik berjudi ketika polis menyerbu premis berkenaan," katanya.

Beliau berkata polis merampas wang tunai berjumlah RM122,480 dan S$72 daripada mereka.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, katanya polis dalam usaha membanteras kegiatan perjudian di negeri ini telah melakukan 549 serbuan dan 607 tangkapan bagi kegiatan judi loteri awam, judi catat taruh haram (360 serbuan dan 442 tangkapan), judi dalam bangunan (210 serbuan dan 72 tangkapan) manakala judi di tempat bebas (138 serbuan dan 412 tangkapan). BERNAMA

Artikel Lain