suria

BNBCC mahu diskaun tol 10 peratus dilanjutkan sepanjang hari

KUALA LUMPUR Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBCC) mahu diskaun tol 10 peratus untuk kereta persendirian di Lebuh Raya UtaraSelatan dan Lebuhraya Elite dilanjutkan sepanjang hari dan bukannya hanya dari pukul 12 tengah malam hingga 7 pagi.

Pengerusi BNBBC Datuk Seri Tiong King Sing berkata potongan tol itu juga perlu diperluas kepada semua jenis kenderaan termasuk lori dan bukan hanya terhad kepada kereta persendirian.

"Kenapa kita perlu menggalakkan orang ramai menggunakan lebuh raya pada tengah malam sehingga 7 pagi...adakah anda nak beritahu, lebuh raya selamat digunakan pada tengah malam berbanding siang hari?" katanya kepada pemberita di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Tiong berkata banyak maklum balas diterima daripada orang ramai yang melahirkan rasa kecewa kerana mereka merasakan kerajaan tidak ikhlas dalam memberikan diskaun itu. Pada Selasa, PLUS Expressways Bhd, pengendali dua lebuh raya itu, mengumumkan kenderaan persendirian Kelas 1 yang menggunakan Lebuh Raya UtaraSelatan dan Lebuh raya Elite dari pukul 12 tengah malam hingga 7 pagi akan menerima diskaun tol 10 peratus untuk tempoh dua tahun mulai 1 Jan.

Diskaun tambahan 10 peratus turut diberi kepada pengguna lebuh raya pada hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru China, Deepavali dan Krismas untuk tempoh dan waktu yang sama. BERNAMA

Artikel Lain