suria

Nazri ingatkan Tun Mahathir tidak celupar tuduh pemimpin Umno rasuah

KUALA LUMPUR:Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengingatkan supaya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tidak 'celupar' dalam membuat tuduhan berhubung isu rasuah di kalangan calon yang bertanding dalam pemilihan Umno Mac depan.

"Tuduhan main (guna) duit adalah tuduhan yang serius, mengata seseorang calon yang nak bertanding terlibat dengan rasuah adalah serius.

"Jadi saya harap Tun Mahathir jangan celupar cakap begitu sahaja kerana akan memberi kesan buruk kepada calon-calon dan juga parti," katanya di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, beliau meminta supaya Dr. Mahathir mengemukakan bukti yang kukuh kepada badan disiplin Umno bagi menyokong dakwaannya itu.

"Itu yang terbaik kerana beliau kena ingat bahawa beliau seorang negarawan dan apa jua yang beliau cakap semua orang akan percaya, tapi kalau tak ada bukti tidak ada apa tindakan yang boleh kita ambil," katanya.

Nazri juga berharap agar bekas Presiden Umno itu lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataannya.

"Jadi saya harap kepada Tun, lain kali kalau mahu bercakap biar ada bukti, kalau tidak itu hanya spekulasi sahaja dan harap beliau lebih bertanggungjawab pada masa akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Nazri turut menasihatkan kepada semua ahli Umno supaya tidak terlibat dengan gejala rasuah politik dan segera melaporkan mengenai perkara tersebut kepada lembaga disiplin Umno.

"Saya harap supaya ahli-ahli tidak terima apa-apa sogokan dan saya juga telah nasihatkan Umno bahagian saya (Padang Rengas) yang jadi perwakilan pada bulan Mac nanti supaya tidak ambil duit.

"Kalau ada orang yang memberi namun tak ada orang yang menerima, rasuah tak akan berlaku," katanya.

Jelasnya lagi, itulah kaedah terbaik bagi membanteras gejala rasuah serta dapat mengajar golongan pemimpin yang gemar menggunakan wang untuk meraih sokongan.

Semalam, Dr Mahathir berkata, beliau percaya ada calon jawatan Timbalan Presiden menggunakan wang bagi mendapatkan pencalonan untuk melayakkan diri bertanding pada pemilihan Mac depan.

Katanya, kemungkinan besar ia berlaku kerana ada calon yang sudah ketinggalan pada peringkat awal persidangan perwakilan Umno bahagian tiba-tiba mendapat banyak pencalonan sehingga layak bertanding.

Artikel Sebelum

Artikel Lain