suria

Kit Siang fail usul gesa Kabinet tidak rayu pembebasan Raja Petra

KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang memfailkan usul tergempar di Dewan Rakyat hari ini menggesa Kabinet tidak memfailkan rayuan terhadap pembebasan pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin.

Usul itu difailkan pagi tadi.

Semalam di Kepala Batas, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan menghormati keputusan mahkamah tetapi akan mengemukakan rayuan dalam masa terdekat.

Menurutnya, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Kementerian Dalam Negeri.

Raja Petra dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Jumaat lalu.

GESAAN GERAKAN, DAP

Malah semalam, DAP dan Gerakan Pulau Pinang meminta kerajaan mengkaji semula pendiriannya untuk memfailkan rayuan berhubung pembebasan Raja Petra.

Pengerusi Gerakan negeri, Datuk Dr. Teng Hock Nan berkata, keputusan mahkamah minggu lalu menunjukkan sistem kehakiman negara adalah telus.

"Kami berharap kerajaan tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah membebaskan Raja Petra dan beliau bukan merupakan satu ugutan kepada negara," katanya di George Town.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, Kabinet seharusnya membatalkan hasrat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar untuk mengemukakan rayuan.

"Perdana Menteri perlu menghalang Syed Hamid daripada mengemukakan rayuan," kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan di ibu negara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain