suria

Lebihan 85 undi keputusan pemilihan Umno Gopeng dipertikai

IPOH:Seramai 20 anggota perwakilan Umno Bahagian Gopeng hari ini membuat bantahan terhadap keputusan persidangan perwakilan bahagian berkenaan Ahad lepas kerana mendakwa berlaku penipuan dalam pengiraan undi.

Memorandum bantahan oleh Ketua Umno Cawangan Taman Lapangan Permai, Ahmad Ishak kepada Setiausaha Kerja Badan Perhubungan Umno Negeri Perak Datuk Hasbullah Othman yang mewakili Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.

Ahmad memberitahu pemberita bahawa bantahan itu dibuat kerana terdapat lebihan 85 kertas undi yang dikira dalam pemilihan berkenaan.

"Seramai 373 perwakilan menghadiri mesyuarat tersebut dan apabila keputusan dikeluarkan terdapat lebihan 85 undi untuk pemilihan ahli jawatankuasa," katanya.

Beliau mendesak supaya persidangan perwakilan bahagian berkenaan diadakan semula dengan pengundian dikendalikan sendiri oleh Badan Perhubungan Umno Negeri dan bukan lagi wakil dari bahagian lain.

Pada mesyuarat lepas bekas timbalan ketua bahagian itu Hamzah Mohd Kasim dipilih sebagai ketua dengan memperoleh 186 undi, mengalahkan dua pencabarnya Mustaffa Kamal Mohd Nawi (102 undi) dan Rustam Affandy Abdul Aziz (77 undi). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain