suria

Polis tembak mati lelaki terlibat 23 kes jenayah

PELABUHAN KLANG: Seorang lelaki tempatan yang dikehendaki polis kerana terlibat dalam 23 kes jenayah termasuk samun bersenjata di sekitar Selangor, ditembak mati di Taman Bayu Perdana, di sini kira-kira pukul 4 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Jamshah Mustapa berkata lelaki berusia 28 tahun itu ditembak mati di hadapan sebuah kedai komputer selepas bertindak melepaskan tembakan ke arah dua anggota polis yang ingin memberkasnya.

"Lelaki itu dipercayai baru menjual hasil rompakan di kedai itu. Polis turut menahan dua lelaki yang bekerja di kedai komputer terbabit untuk membantu siasatan kerana disyaki membeli barangan curi," katanya di sini.

Jamshah berkata polis turut merampas kereta Toyota Wish diguna suspek yang ditembak mati dan hasil pemeriksaan menemui sepucuk pistol jenis Colt.45, sebilah parang dan gari di dalam kenderaan yang dipercayai dicuri.

Katanya, polis percaya dengan tertembaknya lelaki terbabit dan penahanan dua lagi suspek, sebahagian besar kes samun senjata api, pecah rumah dan curi kereta mewah yang melibatkan kerugian ratusan ribu ringgit di sekitar Sepang, Rawang, Kajang dan Ampang sejak Februari lepas berjaya diselesaikan.

"Kita juga sedang giat jalankan operasi memburu tiga lagi rakan jenayah suspek yang mati," katanya yang percaya suspek dan kumpulannya akan melakukan jenayah selepas mereka mengambil dadah jenis syabu.

Kumpulan penjenayah terbabit akan jadi berani melakukan jenayah selepas mengambil dadah itu, katanya. BERNAMA

Artikel Lain