suria

Polis dan Rela turut guna MIES

KUALA LUMPUR: Sistem Penguatkuasaan Imigresen Bergerak (MIES) yang membolehkan pengesahan segera status kewarganegaraan seseorang akan diperluaskan penggunaannya kepada pasukan polis dan Rela, kata Pengarah Penguatkuasa Imigresen Datuk Ishak Mohamed.

Katanya sistem itu yang diperkenalkan Jabatan Imigresen sejak tahun lalu dijangka diguna pakai oleh pasukan polis dan Rela awal tahun depan, setelah diuji tahap keberkesanannya sehingga mencapai 80 peratus.

"Melalui sistem ini, hanya dua saat diperlukan bagi mengesan status seseorang sama ada dia merupakan rakyat asing atau sebaliknya, atau tinggal di negara ini melebihi jangka masa yang ditetapkan.

"Salah satu faktor yang mendorong kita menggunakan sistem ini adalah kerana kita banyak menerima aduan yang mengatakan kita turut menangkap rakyat tempatan semasa pemeriksaan di samping faktor kelewatan dalam menentukan status warganegara seseorang," katanya kepada pemberita pada Forum Perisikan Imigresen, di sini hari ini.

Kira-kira 100 delegasi daripada 10 negara Asean menghadiri forum tersebut.

Ishak berkata jumlah pekerja asing di dalam negara kini mencecah 2.5 juta orang dan purata 15,000 orang berurusan dengan jabatan Imigresen setiap hari, ini memerlukan sistem pemantauan yang efisien.

Katanya MIES boleh mengesan status seseorang melalui Mykad, Ikad, pasport dan cap jari.

"Apabila seseorang itu ditahan dan dia memiliki Mykad, kita akan tentukan ketulenannya, sama ada (Mykad) itu sah miliknya atau milik rakyat negara ini yang mungkin dicuri.

"Kesemua data yang ditunjukkan oleh kad tersebut juga membuktikan seseorang itu daripada negara mana, butir-butir syarikat majikan dan tempoh luput dokumen perjalanan mereka," katanya.

Katanya pada ketika ini, lebih 100 alat MIES digunakan di seluruh negara termasuk 60 buah di Sabah.

"Kita juga merancang memasang sistem ini di setiap pintu masuk negara seperti yang dicadangkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara," kata Ishak. BERNAMA

Artikel Lain