suria

Saifuddin saran debat terbuka semua jawatan

KUALA LUMPUR: Calon ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Saifuddin Abdullah menyarankan supaya debat terbuka diadakan bagi semua calon yang bertanding untuk semua jawatan dalam pemilihan parti Mac depan.

"Saya menyarankan pengurusan Umno menganjurkan debat terbuka untuk membolehkan semua calon yang menawarkan diri berdebat.

"Pada saya debat adalah satu daripada kaedah untuk melihat kualiti pemimpin yang akan dipilih," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menurutnya, Umno mesti mempunyai cara pemilihan baru yang lebih terbuka bagi membuktikan kepada rakyat bahawa Umno adalah sebuah parti yang benar-benar serius untuk mencari pemimpin yang terbaik.

"Kita kena bergerak ke arah wajah baru dalam politik. Saya juga yakin rakyat ingin melihat Umno berubah menjadi lebih baik," katanya.

Tambah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu, debat terbuka adalah wadah terbaik untuk calon-calon yang bertanding mengemukakan idea dan pandangan mereka demi kepentingan parti.

"Pemimpin yang menawarkan diri untuk bertanding perlu mempunyai sesuatu idea yang hendak ditawarkan jika dipilih.

"Jadi debat terbuka adalah jalan terbaik untuk calon tersebut beritahu idea-ideanya dan pertahankan idea tersebut," katanya.

Ditanya tidakkah dengan mengadakan debat secara terbuka akan menyebabkan semua perkara akan didedahkan kepada seluruh rakyat tidak hanya kepada ahli Umno sahaja, beliau bekata perkara tersebut tidak menjadi satu masalah. "Pemilihan Umno juga adalah pemilihan untuk bakal Perdana Menteri atau bakal menteri-menteri kabinet, jadi rakyat berhak untuk tahu.

"Setiap perlakuan pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) dilihat oleh rakyat, sebab itu juga saya sokong Perhimpunan Agung Umno diadakan secara langsung...tak ada apa yang perlu dirisaukan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain