suria

Nur Jazlan tarik diri 19 termasuk Razaleigh masih cari sokongan

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Selepas 27 pemimpin telah melayakkan diri bertanding jawatan-jawatan utama Umno, 19 yang lain masih mencari pencalonan yang mencukupi untuk turut bersaing.

Daripada 19 bakal calon berkenaan, Ketua Umno Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang menawarkan bertanding jawatan Presiden Umno masih belum memperoleh pencalonan langsung.

Semalam, Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang mengulangi pendirian menawarkan diri bertanding jawatan Presiden Umno walaupun belum mendapat sebarang pencalonan.

Beliau tetap percaya peluang untuknya bertanding masih cerah berikutan masih terdapat kira-kira dua pertiga atau 123 bahagian Umno di seluruh negara masih belum mengadakan mesyuarat.

"Saya telah nyatakan sejak awal lagi yang saya hanya menawarkan diri bertanding pada jawatan ini dan ini bukan satu pertandingan.

"Terpulang kepada perwakilan untuk memilih sesiapa sahaja yang layak tetapi saya minta perwakilan jangan takut untuk membuat keputusan untuk memilih kerana ini akan menentukan masa depan parti," katanya.

Setakat malam tadi sebanyak 82 Umno telah selesai mengadakan persidangan dan kesemuanya telah mencalonkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden Umno.

Hari ini, Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamad pula memutuskan untuk menarik balik tawaran untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Sebaliknya beliau mengumumkan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah memperoleh sokongan terbanyak untuk kerusi Timbalan Presiden.

Nur Jazlan merupakan Ketua Umno Bahagian Pulai.

Kedua-dua Nur Jazlan dan Muhyiddin merupakan pemimpin Umno dari Johor.

Nur Jazlan yang mengumumkan pendiriannya hari ini turut menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak untuk jawatan Presiden.

Minggu lalu ketika dihubungi mStar Online beliau masih yakin akan berpeluang untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno.

Nur Jazlan berkata, beliau akan menunggu sehingga minggu hadapan, apabila kira-kira tiga suku bahagian selesai bermesyuarat.

Selain Muhyiddin dua pemimpin yang menawarkan bertanding Timbalan Presiden ialah Datuk Seri Mohd Ali Rustam, 13 pencalonan dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Sehingga semalam hampir dua pertiga bahagian telah mengadakan persidangan.

Bahgaian Pulai mengadakan persidangan perwakilan hari ini manakala Gua Musang minggu depan.

Malah, semalam ketika persidangan perwakilan bahagian masuk minggu ketiga, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin sudah layak untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno.

Ahli Parlimen Rembau itu menerima tujuh pencalonan semalam - termasuk daripada Pemuda Bahagian Tawau, Tangga Batu, Sembrong, Sabak Bernam dan Papar, menjadikan jumlah pencalonan yang diterimanya sebanyak 44 pencalonan.

Di belakang beliau ialah bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohammad Khir Toyo yang sudah pun memperoleh 39 pencalonan hari ini, sekaligus turut melayakkannya bertanding.

Ini bermakna, jawatan Ketua Pemuda akan menjadi rebutan tiga penjuru termasuk Exco Pemuda, Datuk Mukhriz Mahathir yang sudah pun memperoleh 66 pencalonan - individu pertama melayakkan diri untuk bertanding jawatan itu.

Untuk jawatan Naib Ketua Pemuda, Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim masih mengungguli persaingan itu dengan mendapat 74 pencalonan.

Calon lain untuk jawatan itu ialah, Exco Pemuda, Datuk Reezal Merican Naina Merican yang turut telah melayakkkan diri.

Nama lain yang turut dicalonkan tetapi belum memperoleh pencalonan mencukupi ialah Ketua Pemuda Umno Bahagian Kota Kinabalu Bahrul Razha Chuprat; Khairy; Ketua Pemuda Umno Bahagian Bagan, Marzuki Yahaya; Ketua Pemuda Umno Subang, Megat Firdaus Megat Junid dan Ketua Pemuda Umno Kapar, Faizal Abdullah.

Sementara itu, Ketua Wanita Tan Sri Rafidah Aziz merupakan antara pemimpin yang layak bertanding jawatan Ketua Wanita Umno. Turut dicalonkan ialah Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Shahrizat juga dicalonkan untuk jawatan Naib Ketua Wanita bersama Datuk Kamilia Ibrahim.

Shahrizat layak untuk bertanding kedua-dua jawatan berkenaan.

Bagi Pergerakan Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pencalonan yang diperolehnya kini menyamai jumlah pencalonan ketua penerangan pergerakan itu Datuk Shahaniza Shamsuddin iaitu masing-masing memperoleh 44 pencalonan.

Rosnah menerima satu pencalonan dari Kubang Pasu semalam manakala Shahaniza pula memperoleh pencalonan tunggal daripada Hulu Terengganu.

Juga layak Pengerusi Biro Keahlian Puteri Umno, Datin Ismalina Ismail kekal dengan 22 pencalonan; Setiausaha Puteri Umno, Bibi Sharliza Mohd Khalid, Ketua Puteri Umno Pulau Pinang, Azlina Mehtab Mohd Ishaq dan ketua Puteri Umno Terengganu Senator Nordiana Shafie.

Artikel Lain