suria

Abdullah BN kekal berkuasa hadapi PRU ke14

BEIJING: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak terkejut dengan kegagalan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengotakan janji-janjinya untuk menggulingkan kerajaan, malahan menyatakan Barisan Nasional (BN) akan kekal berkuasa dan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Anwar sebelum ini memberitahu Bloomberg TV beliau kehilangan peluangpeluang selepas beberapa kali gagal menepati tarikh yang ditetapkannya untuk menggulingkan BN.

"Saya menjangka perkara ini akan berlaku. Apapun yang dikatakannya tidak pernah menjadi dan saya tidak fikir akan ada jangkaan perubahan kerajaan lagi, semua yang dikatakannya tidak berlaku," kata Abdullah semasa mengulas perkara itu pada Khamis.

Abdullah berkata demikian kepada media selepas merasmikan pejabat Khazanah Nasional di sini, badan pelaburan kerajaan sebelum menghadiri Mesyuarat Sidang Kemuncak AsiaEropah (ASEM) yang bermula di sini pada Jumaat.

Perdana Menteri berkata BN akan menjadi lebih kuat dengan kehadiran pemimpin baru dan pembaharuan yang dilakukannya.

"Tidak akan berlaku perubahan kerajaan. Kerajaan pimpinan Barisan Nasional akan terus kekal sehingga kami menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya.

Mengemukakan alasan lain berhubung kegagalan menunaikan hasratnya, Anwar memberitahu wartawan di lobi Parlimen Malaysia hari ini bahawa masanya tidak sesuai bagi beliau menggulingkan kerajaan berikutan krisis ekonomi dunia yang berlaku sekarang. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain