suria

MB Selangor Maklumat Bajet 2009 Selangor diberikan Exco terlalu umum

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata maklumat mengenai Bajet 2009 Selangor yang diberikan Exco kerajaan negeri Dr Xavier Jayakumar kepada sebuah akhbar tempatan sebelum ia dibentangkan Isnin lepas adalah terlalu umum dan tidak sensitif.

Beliau berkata maklumat yang diberikan oleh Dr Xavier kepada akhbar itu bukan bersifat "price sensitive" dan tidak boleh diberitahu sebelum waktunya.

"Jika maklumat seperti cukai akan naik 20 peratus atau turun 20 peratus dan boleh dimanfaatkan oleh orang ramai baharulah maklumat itu dianggap sensitif dan memang tidak boleh diberitahu sebelum waktunya," katanya pada sidang media di luar persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Abdul Khalid mengulas dakwaan anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baru, Wong Koon Mun bahawa ada exco kerajaan Selangor yang menyebarkan kandungan Bajet 2009 Selangor kepada sebuah akhbar harian sedangkan beliau telah mengangkat sumpah untuk menyimpan rahsia kerajaan.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak akan tergesagesa untuk mengambil tindakan berhubung kes rumah agam bekas anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Allahyarham Datuk Zakaria Md Deros.

Beliau mengulas cabaran Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo semasa membahaskan Banjet 2009 semalam supaya kerajaan Pakatan Rakyat mengambil tindakan merobohkan rumah Zakaria yang menjadi kontroversi seperti yang mereka minta semasa menjadi pembangkang.

Abdul Khalid berkata perkara itu perlu diteliti terlebih dahulu daripada aspek undangundang dan sosial sebelum sebarang tindakan diambil.

"Sama ada setuju atau tidak, geran hak milik tanah yang Zakaria dirikan (rumah) telah diberikan oleh kerajaan lepas dan buat masa ini kerajaan Selangor tidak mempunyai sebab untuk mengambil tindakan terhadap rumah itu.

"Apa yang boleh dibuat sekarang ialah kerajaan meminta pegawai-pegawai kerajaan mencari sama ada terdapat salah guna kuasa semasa proses pemberian geran itu," katanya.

Abdul Khalid juga berkata Exco kerajaan negeri akan membincangkan cadangan supaya kerajaan negeri memberikan geran RM10 juta untuk membantu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil serta sekolah-sekolah persendirian. BERNAMA

Artikel Lain