suria

Penyokong antikerajaan berarak di ibu negara Thai

BANGKOK: Perikatan Rakyat Untuk Demokrasi (PAD) sekali lagi membawa tunjuk perasaan anti kerajaan yang mereka lakukan sejak lima bulan lepas, ke daerah pelancongan dan perniagaan di ibu kota ini, ketika timbul kebimbangan berhubung pertempuran dengan penyokong prokerajaan dalam tempoh dua hari akan datang.

Lalu lintas terhenti ketika kirakira 2,000 penyokong PAD yang memakai bajuT kuning dan membawa poster rakan mereka yang terbunuh dalam pertempuran dengan polis pada 7 Okt, di samping pemimpin kerajaan, mengedarkan risalah serta VCD memaparkan adegan yang mereka dakwa sebagai kekejaman polis. Perarakan anti polis itu pertama kali diadakan Jumaat lepas di daerah perniagaan Silom yang sibuk.

"Somchai Wongsawat (Perdana Menteri) perlu meletak jawatan bagi memikul tanggungjawab terhadap keganasan pada 7 Okt itu. Kami tidak mahu kerajaan yang menyebabkan kematian rakyatnya sendiri," kata seorang pemimpin PAD yang bercakap dari atas sebuah lori sambil penunjuk perasaan berjalan dari pusat membelibelah Central World ke Lumpini Park.

Meskipun tanpa sebarang insiden tidak diingini, pihak berkuasa bersiap sedia menghadapi kemungkinan keganasan pada Selasa sambil kumpulan pro dan anti kerajaan merancang untuk berhimpun di Mahkamah Agung untuk mendengar keputusan kes tanah Ratchadaphisek yang membabitkan Perdana Menteri yang disingkirkan Thaksin Shinawatra dan isterinya Potjaman.

Kedua-duanya mendapatkan suaka di Britain, tetapi PAD mendakwa parti yang memerintah, Parti Kuasa Rakyat (PPP) di bawah kepimpinan Somchai iaitu ipar Thaksin, adalah proksi bekas Perdana Menteri itu.

Selepas memulakan bantahan jalanan mereka pada 25 Mei, PAD menawan Rumah Kerajaan pada 26 Ogos, menafikan Perdana Menteri ketika itu Samak Sundarevej daripada jawatannya.

Penggantinya Somchai yang mengambil alih pada 17 Sept, mengendalikan urusan pemerintahan negara dari sebuah pejabat sementara di Lapangan Terbang Don Muang.

Sungguhpun menerima desakan daripada PAD dan gesaan terbuka oleh Panglima Tentera Anupong Paochind supaya beliau meletak jawatan, Somchai terus ingkar.

Bagi menyatakan sokongan mereka, Barisan Bersatu Demokrasi Menentang Diktator(UDD), yang prokerajaan, merancang perhimpunan di ibu kota ini esok, seminggu selepas kira-kira 10,000 penyokong pertemuan di sebuah pusat konvensyen di pinggir Bangkok.

Keadaan terus tegang ketika Salang Bunnag, seorang bekas Timbalan Ketua Polis, mengumumkan bahawa beliau akan mengetuai kumpulan pesara polis dalam satu sesi sembahyang di Royal Plaza pda Rabu dan seterusnya mara ke Rumah Kerajaan untuk merampas semula premis itu daripada PAD.

Sombat Thamrongtanyawong, presiden Institut Pembangunan Pentadbiran Negara memberitahu media tempatan, sekiranya Thaksin dibebaskan oleh mahkamah, beliau akan kembali ke Thailand dan mempertahankan dirinya dalam beberapa kes lain manakala

PAD pula perlu menerima keputusan mahkamah. Bagaimanapun, jika didapati bersalah, Thaksin tidak boleh pulang ke negara ini tanpa ditahan manakala PAD pula akan memperoleh keuntungan dan meneruskan bantahan mereka, katanya. BERNAMA

Artikel Lain