suria

Soi Lek optimis menawan kerusi Timbalan Presiden MCA

DATUK Seri Dr. Chua Soi Lek merupakan bekas Menteri Kesihatan dari tahun 2004 hingga 2 Januari 2008. Beliau juga merupakan bekas Naib Presiden MCA.

Beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Kesihatan pada 2 Januari 2008 apabila tersebarnya klip video seksnya dengan seorang pembantunya. Pada ketika itu beliau telah meletakkan semua jawatan Kabinet dan parti. Ketika itu beliau merupakan Naib Presiden MCA.

Kini setelah terjadinya tsunami politik Mac lalu, beliau kembali bergiat aktif dan mengumumkan bertanding jawatan Timbalan Presiden. Selain beliau jawatan tersebut turut diintai oleh tiga calon yang lain. Mereka adalah Naib Presiden, Datuk Donlad Lim; Setiausaha Agung, Datuk Seri Ong Ka Chuan dan Timbalan Ketua MCA Tanjung, Lee Hack Teik.

Berikut adalah temu bual bersama mStar Online bersama beliau menjelang pemilihan pusat MCA di ibu negara esok.

SOALAN: Apakah faktor yang menjadi pendorong kepada Datuk untuk kembali bergiat aktif dalam politik?

CHUA: Saya masih orang yang sama dan tiada perkara yang akan berubah jika dia dipilih sebagai peneraju parti itu. Apa yang lebih penting adalah apa yang boleh dilakukan kepada parti dan masyarakat Cina dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

SOALAN: Apakah perubahan yang Datuk rasa MCA wajar lakukan selepas berlakunya tsnunai politik pada pilihan raya umum ke-12 lalu?

CHUA: MCA berada dipersimpangan. Pada saat genting sebegini kita perlu lakukan perubahan yang segera. Ini kerana jika kita masih kekal sebegini tanpa sebarang perubahan MCA mungkin akan menjadi satu parti yang tidak lagi relevan di masa hadapan.

Parti perlu membuat perubahan segera di mana mereka perlu mengkaji sebab mereka kalah di kebanyakan kerusi 8 Mac lalu yang menyaksikan MCA hanya menang 46 kerusi daripada 130 tempat yang ditandinginya. Ini sangat berbeza dengan PRU ke-11 di mana kita telah berjaya memenangi 106 kerusi daripada 130 kerusi yang dipertandingkan. Saya takut dalam PRU ke-13 nanti akan terjadi tsunami yang lebih besar.

SOALAN: Maksud Datuk perubahan dari sudut mana?

CHUA: Perubahan yang dimaksudkan itu adalah dengan melaksanakan plan strategik dengan membantu calon-calon MCA yang tewas pada pilihan raya lalu. Mereka ini perlu diberikan sokongan moral dan bantuan kewangan serta tunjuk ajar agar mereka dapat melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat di kawasan mereka sebaik mungkin. Kekalahan MCA di negeri-negeri yang besar seperti Selangor, Perak dan Pulau Pinang perlu dikaji secara mendalam. Apakah faktor yang menyebabkan MCA kalah teruk di negeri berkenaan.

SOALAN: Rakyat terutamanya orang Cina mahu MCA berubah. Apakah yang boleh dilakukan untuk MCA kekal relevan?

CHUA: Kita sememangnya perlu menjadi vokal dalam mengetengahkan isu-isu yang menjadi masalah orang Cina dan rakyat Malaysia tetapi bukan itu sahaja yang perlu dilakukan. Parti tidak boleh menumpukan perhatian kepada masalah orang Cina sebaliknya masalah rakyat Malaysia secara keseluruhan. Kita tidak boleh hanya menjadi vokal sebaliknya kita perlu menjadi parti yang efektif dalam menyelesaikan masalah rakyat. Selepas itu barulah kita akan boleh kekal relevan.

Perkara tersebut masih tidak cukup. Kita lihat pembangkang, kita juga perlu hakikat yang kita telah mengalami kekalahan yang teruk pada PRU-ke-12 yang lalu.

SOALAN: Apa komen Datuk mengenai cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai keahlian langsung dalam Barisan Nasional?

CHUA: Cadangan tersebut pernah dibincangkan sebelum ini. Kita perlu membincangkannya dengan lebih lanjut mengenai mekanisme yang akan diguna pakai.

SOALAN: Apakah perubahan yang akan dilakukan sekiranya Datuk memenangi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti kali ini?

CHUA: Perkara pertama, orang nombor dua akan tetap jadi nombor dua. Dia akan jadi pelengkap kepada nombor satu. Dia akan membantu nombor satu untuk membuat pembaharuan dan menyusun semula struktur parti secara keseluruhan. Kedua, selepas tempoh kempen yang panjang berakhir ini berakhir satu perkara yang menanti menanti kepimpinan MCA yang baru adalah bersatu untuk memastikan kestabilan dan keutuhan parti akan terus terpelihara. Dalam makna lain kita meletakkan perkara yang sepatutnya ditempat yang betul. Ketiga, kita perlu duduk berbincang dengan Umno mengenai. Kita perlu memberitahu mereka apa masalah yang dihadapi oleh orang Cina dan apa yang rakyat mahukan daripada kerajaan Barisan Nasional.

Ini kerana pada PRU ke-12, rakyat telah mengundi kerana mereka mahukan perubahan. Jadi kita perlu berubah dalam memenuhi jangkaan dan aspirasi yang diharapakan oleh bukan hanya orang Cina malah rakyat Malaysia. SOALAN: Soalan apakah pandangan Datuk mengenai jawatan Timbalan Presiden yang menyaksikan saingan empat penjuru?

CHUA: Saya rasa ia memberi kelebihan kepada calon-calon yang bertanding. Terutamanya mereka yang punya pengalaman sebagai pegawai kerajaan. Ini kerana ahli-ahli akan terpengaruh untuk memilih mereka yang ada kuasa. Tapi saya rasa perkara tersebut bukan lagi menjadi faktor utama pada pemilihan kali ini. Ini kerana pada PRU ke-12 yang lalu. Ramai menteri dan timbalan menteri tewas dengan calon yang tidak dikenali.

SOALAN: Bagaimana Datuk melihat peluang Datuk untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden?

CHUA: Saya sangat optimis mengenai peluang saya untuk memenangi jawatan tersebut. Saya percaya ahli-ahli perwakilan akan membuat pilihan yang terbaik dan mengundi dengan bijak siapa calon terbaik untuk memegang jawatan dalam parti.

Apa yang dapat saya katakan di sini adalah mereka wajar memilih pemimpin yang terbukti boleh membuat kerja dan mereka yang punya pengalaman dalam parti. Selain itu, perwakilan juga perlu memilih mereka yang hubungan baik dengan ahli-ahli parti diperingkat akar umbi. Pengalaman saya selama 25 tahun sebagai ahli parti akan menjadi kayu pengukur yang akan dinilai oleh para perwakilan pada hari pemilihan nanti.

Artikel Lain