suria

Hindraf Gesaan tarik balik pengharaman pandangan peribadi Pesuruhjaya Suhakam

KUALA LUMPUR: Suhakam hari ini menjelaskan bahawa gesaan beberapa orang pesuruhjayanya semalam supaya ditarik balik pengharaman ke atas Hindraf adalah semata-mata pandangan peribadi mereka dan bukan pendirian rasmi Suhakam.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, isu itu tidak pernah dibentangkan untuk perbincangan di hadapan Suruhanjaya, oleh itu tidak ada keputusan dibuat mengenai pengharaman Hindraf.

"Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia menyebut bahawa anggota Suruhanjaya akan menggunakan daya usaha mereka untuk mencapai semua keputusan mesyuarat secara konsensus, jika tidak, keputusan majoriti dua pertiga diperlukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu, kenyataan mengenai isu itu adalah semata-mata pandangan peribadi mereka.

Semalam tiga orang Pesuruhjaya Suhakam iaitu Tan Sri Simon Sipaun, Datuk Dr Denison Jayasooria dan Datuk Michael Yeoh Onn Kheng mengeluarkan kenyataan bersama bertajuk: "Suhakam: Sekatan dan pengharaman ke atas hak berpersatuan melanggar hak asasi manusia".

Dalam satu kenyataan, mereka menggesa kerajaan menarik balik pengharaman ke atas Hindraf supaya kumpulan individu ini dapat dipertanggungjawabkan terhadap tindakan mereka. BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahidi tewaskan Azmi Khalid

Artikel Lain