suria

Pengarah syarikat saman Nallakaruppan RM10 juta

PULAU PINANG:Seorang pengarah syarikat memfailkan saman malu RM10 juta terhadap Presiden Parti India Malaysia (MUIP) Datuk S. Nallakaruppan berhubung laporan polis yang dibuatNYA ketika kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 21 Ogos lepas yang didakwanya palsu.

Saman yang dikemukakan oleh L. Balasupramaniyam itu difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini oleh peguam yang mewakilinya R.S.N. Rayer.

Dalam pernyataan tuntutannya, Balasupramaniyam berkata laporan yang dibuat di balai polis Seberang Jaya itu menuduhnya dan beberapa yang lain membuat ancaman dan ugutan terhadap Nallakaruppan dan beberapa pekerjanya di bilik gerakan MUIP antara pukul 9 malam hingga 10 malam pada 19 Ogos.

Katanya antara 18 dan 20 Ogos, beliau melakukan lawatan ke Thailand bagi urusan perniagaan.

Akibat laporan itu, katanya beliau ditahan di Balai Polis Bandar Perda pada pukul 10 malam, 21 bagi siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis pada 23 Ogos. Balasupramaniyam,45, mendakwa penahanan itu telah menjejaskan imej beliau sebagai seorang pengarah syarikat, selain mengalami tekanan mental dan emosi.

Katanya beliau menuntut ganti rugi khas berjumlah RM10 juta, ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan.

Rayer memberitahu pemberita bahawa beliau telah mengeluarkan notis bertarikh 9 Sept lepas mengarahkan supaya Nallakaruppan menarik balik dakwaan dalam laporan polis itu dan memohon maaf secara terbuka.

Saman itu difailkan selepas Nallakaruppan gagal mematuhi notis tuntutan tersebut itu dalam masa yang ditetapkan, katanya. BERNAMA

Artikel Lain